SELAMAT MENYAMBUT HARI AKADEMIA DAN BULAN AKADEMIA 2023, "AKADEMIA PEMACU MALAYSIA MADANI"
USM PULAU PINANG, 5 Oktober 2023 – Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 September 2019 telah bersetuju dengan cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengiktiraf tarikh 5 Oktober pada setiap tahun sebagai Hari Akademia dan bulan Oktober sebagai Bulan Akademia.
Sambutan itu akan turut melibatkan seluruh staf akademik di pelbagai peringkat pengajian lepasan sekolah yang merangkumi Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik dan Kolej Komuniti.
Ini adalah bagi meraikan segala sumbangan, pencapaian dan pengorbanan para pensyarah kepada dunia akademia selain menghargai jasa keilmuan dan pemikiran terkehadapan para akademik di peringkat pendidikan tinggi.
Para akademik ini tidak pernah mengenal erti penat dan lelah, demi melonjakkan pendidikan tinggi negara ke tahap antarabangsa serta membentuk modal insan Malaysia MADANI yang berkualiti dan bersahsiah tinggi.
Justeru, “Akademia Pemacu Malaysia Madani” telah dipilih sebagai tema sambutan Hari Akademia bagi tahun 2023, dengan tujuan untuk membangkitkan semangat ahli akademia ke arah membangunkan masyarakat dan negara selari dengan teras Negara MADANI.
Tahun ini adalah tahun kelima sambutan Hari Akademia di negara kita sejak diperkenal dan diwartakan pada tahun 2019.
Difahamkan Malaysia merupakan negara pertama di dunia mengadakan hari khusus bagi menghargai sumbangan komuniti akademia.
Seperti staf akademik di IPT lain seluruh negara malah di dunia, semoga semua staf akademik di USM akan terus berdedikasi dalam melaksanakan skop tugas utama dan asas mereka merangkumi pengajaran dan pembelajaran; penyelidikan dan inovasi; penerbitan; penyeliaan pelajar ijazah pertama dan ijazah tinggi; perundingan; pentadbiran universiti; pengurusan geran dalaman dan luar; libatsama industri dan komuniti, perkhidmatan masyarakat luar; pengiktirafan akademik dan sebagainya.
Di samping itu, para akademik juga memikul tanggungjawab untuk menyumbang terhadap pembinaan negara (nation building) dan mencari penyelesaian kepada isu masyarakat melalui hubungan yang dijalinkan antara kerajaan, akademia, komuniti dan industri.
Sempena hari yang istimewa ini, Naib Canselor USM, Pengurusan Tertinggi USM dan seluruh warga USM mengucapkan Selamat Hari Akademia dan Bulan Akademia 2023: "Akademia Pemacu Malaysia MADANI" buat seluruh ahli akademik USM seramai lebih 2,300 orang.
Teks: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 737