PENERIMA SISWA SULUNG TABAH HADAPI UJIAN, TERHARU DENGAN KUNJUNGAN KPT-JPT DAN USM
BATU PAHAT, JOHOR, 3 Oktober 2023 – Seorang penerima surat tawaran di bawah Program Pembangunan Siswa Sulung peringkat Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu Soh Pao Hui yang hidup sendirian terharu apabila Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Hirman Awang @ Semail; KPP Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) JPT, Kaliyapan A/L Rajakumaran; Focal Point, Seksyen Mahasiswa; bersama Penyelaras Siswa SULUNG USM, Sheilawanis Abdul Karim hadir menyantuni dan menyerahkan surat tawaran melanjutkan pengajian kepadanya semalam.
Hirman yang juga merupakan CEO Yayasan Kebajikan Siswa turut menyerahkan sedikit sumbangan wang tunai bagi meringankan beban yang ditanggung oleh Pao Hui bagi membuat persiapan awal untuk memasuki universiti.
Selain itu juga, USM melalui Unit Kebajikan, Biasiswa, Pingat dan OKU, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) yang diketuai oleh Sheilawanis turut menyampaikan sumbangan kit keperluan asas percuma mahasiswa/i B40 kepada Pao Hui.
Pao Hui merupakan pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) telah berjaya dipilih untuk melanjutkan pengajiannya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Teknologi (Kepujian) (Makanan) di Pusat Pengajian Teknologi Industri, USM kampus induk bagi Sidang Akademik 2023/2024.
Dia seorang anak yatim piatu yang hidup sebatang kara tanpa penjaga. Kedua-dua ibu bapanya telah meninggal dunia ketika dia berusia 15 tahun.
Setelah kematian ibu bapanya, Pao Hui tinggal bersama datuknya dan setelah datuknya meninggal dunia, dia dijaga oleh ibu saudaranya namun apakan daya, ibu saudaranya juga telah meninggal dunia.
Kini dia hanya tinggal seorang diri di rumah pusaka arwah bapanya.
Semoga Pao Hui tabah menghadapi ujian dan diharapkan agar beliau cemerlang apabila berada di USM nanti.
Program Pembangunan Siswa Sulung atau ringkasnya SULUNG merupakan insiatif yang diperkenalkan KPT bertujuan untuk memberikan peluang dan kemudahan melanjutkan pengajian di menara gading kepada generasi pertama yang cemerlang dalam kalangan keluarga B40 tetapi kurang berkemampuan.
USM mensasarkan seramai 1,000 orang pelajar bagi pengambilan kategori Siswa SULUNG yang mana keutamaan akan diberikan kepada pelajar baharu, dan pelajar sedia ada juga boleh memohon untuk memenuhi kuota yang telah ditetapkan.
Di antara syarat yang ditetapkan calon layak tawaran Siswa SULUNG adalah calon mestilah generasi pertama dalam keluarga yang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, daripada keluarga berpendapatan B40 (kategori e-kasih) dan tidak menerima mana-mana tawaran biasiswa penuh.
Di antara manfaat yang akan diterima oleh Siswa SULUNG adalah semua yuran akan dibiayai oleh USM kecuali yuran desasiswa, mengikuti program Pemantapan Jati Diri, Sokongan Felo Akademik dan sokongan Kebajikan serta Insaniah.
Diharapkan semoga dengan inisiatif ini, wakil pertama dari keluarga B40 yang berjaya memasuki USM akan dapat mengikuti pengajian tinggi dengan selesa, tenang dan berprestasi tinggi.
Teks: NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Dokumentasi BHEPA USM/Foto: Muhammad Amir Fakri
- Created on .
- Hits: 1548