PPSL BARISAN HADAPAN USM, PLATFORM PERKASA AGENDA KEPIMPINAN PELAJAR BERKHIDMAT DI MINGGU SISWA LESTARI
BESUT, TERENGGANU, 1 Oktober 2023 – Kem Pembimbing Pelajar Siswa Lestari (PPSL) Universiti Sains Malaysia (USM) diteruskan lagi bagi Sidang Akademik 2023/2024 kali ini dengan penglibatan seramai hampir 250 orang pelajar melibatkan Kampus Induk, Kejuruteraan dan Kesihatan.
Menurut Yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (USM), Profesor Dr. Azlan Amran, PPSL yang akan menjalankan fungsi pada minggu siswa lestari perlulah menjadi seorang ‘Pembimbing’ yang bertanggungjawab, berakauntabiliti dan mewakili USM dengan terbaik.
“Tetapkan niat yang betul dan jaga sikap masing-masing ketika menerima pelajar baharu ke USM dan layanlah mereka sebagai sebuah keluarga besar USM,” jelasnya ketika menyampaikan amanat kepada PPSL di sini hari ini.
Tambahnya, gunakan masa ketika program ini untuk semua PPSL sebagai platform untuk mendalami kemahiran kepimpinan serta menggunakan ruang dan peluang ini untuk mengasah bakat komunikasi serta berinteraksilah secara kreatif, inovatif dan secara berkesan, dan pada masa yang sama tonjol dan perkasa kebolehan diri secara maksimum supaya dapat dijadikan pengalaman bernilai ketika zaman universiti.
“Apa yang kehidupan kampus bentuk ketika tempoh pengajian anda, ia akan menjadikan anda sebagai seorang pemimpin masa hadapan yang lengkap daripada segala bentuk lapangan dan ini dapat digunakan untuk membantu negara ke tahap yang lebih baik,” tambahnya.
Azlan juga menyarankan agar pelajar dapat membuat pilihan, memikirkan serta memahami apa bentuk sumbangan yang boleh mereka berikan kepada USM supaya institusi ini dapat menjadi sebuah institusi “role model” dan disegani kerana mempunyai pelajar bertaraf intelektual yang tinggi.
Azlan turut menyampaikan kata-kata daripada pengurusan tertinggi terutamanya Naib Canselor USM yang menyeru supaya semua PPSL untuk berkhidmat dengan profesional sebagai barisan hadapan serta menjaga imej dan reputasi USM ketika menerima keluarga baharu USM hujung minggu ini.
Selaras dengan agenda pemerkasaan pelajar, PPSL kini bertindak bukan sekadar sebagai pembimbing kepada mahasiswa-mahasiswi tahun satu yang baru menjejakkan kaki ke USM, bahkan kumpulan ini jugalah yang menjadi ‘kaunter hadapan’ dalam mengetengahkan sistem dan identiti universiti kepada umum terutamanya ibu bapa yang baru pertama kali menjenguk dunia kampus ini.
Selain itu, ini adalah batu loncaran buat mereka untuk melatih diri mereka dalam pengembangan bakat dan aspek kepimpinan pelajar yang lebih jitu untuk mengucapkan selamat datang kepada pelajar baharu.
Berlangsung pada hari pertama kelmarin ialah pergerakan PPSL dan pegawai-pegawai daripada lokasi masing-masing dan berkampung selama satu malam di Kampus Kesihatan USM sebelum bergerak ke Kem Wawasan Besut hari ini dan seterusnya Pulau Rhu selama 2 hari.
Kem ini juga tidak dapat direalisasi jika tiada tenaga fasilitator seramai hampir 20 orang daripada kalangan alumni USM serta urusetia daripada BHEPA seramai 36 orang yang akan menguruskan perjalanan serta pengurusan program.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah, Sektor Kompetensi Siswa, Pusat Pembangunan Bakat/Foto: Muhammad Fikri
Ihsan dari: Unit Media dan Dokumentasi, BHEPA
- Created on .
- Hits: 362