MEDIA MERELEVANKAN PENGAJIAN TINGGI
PULAU PINANG, 19 Mei 2015 - Media mempunyai peranan besar dalam merelevankan pengajian tinggi apatah lagi dalam menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara – Pendidikan Tinggi. Bukan sahaja dalam menyediakan mereka yang memasuki industri media, tetapi sinergi yang mampu dibangunkan bersama-sama dalam menghasilkan masyarakat berilmu untuk sebuah negara maju.
Menurut Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Oman usaha perlu diteruskan dalam mendekatkan jurang antara media dengan universiti seperti mana pentingnya universiti berusaha untuk memastikannya terus relevan dalam masyarakat, negara dan dunia.
“Hakikatnya ialah, universiti perlu terus berada dalam dunia yang mencabar dengan keperluan memastikan ilmu dan pengetahuan dapat dikongsi dan dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan seperti mana kita sentiasa berusaha untuk mendekati pelbagai kumpulan dan negara dunia melalui pelbagai mekanisme,” kata Omar dalam Forum Media@USM di sini hari ini yang mengupas tajuk Peranan Media Dalam Merelevankan Pengajian Tinggi.
Forum tersebut disertai juga oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia Datuk Dr. Chamil Wariya dan Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro Ahmad@Salim Bachok dengan moderatornya Editor Urusan Bernama Synergy Sdn. Bhd. Sherkawi Jirim.
Menurut Chamil pula, akhbar arus perdana sentiasa memberi peluang kepada anak-anak muda untuk menyampaikan pandangan mereka, namun pandangan yang diberi mestilah dalam kerangka yang ditetapkan oleh sesebuah media untuk menerima dan menyiarkannya tanpa bertentangan dengan nilai-nilai dan kepentingan negara termasuk hal-hal yang berkaitan dengan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat seluruhnya.
“Mereka yang berada di institusi pengajian tinggi terutamanya anak-anak muda perlu memahami perkara ini dan tidak mudah membuat penilaian berasaskan maklumat yang cetek tanpa membuat verifikasi terlebih dahulu termasuklah ketika menyatakan pandangan melalui media arus perdana mahu pun media sosial,” kata Chamil.
Beliau turut menasihati pelajar yang ingin memasuki dunia media akan menyiapkan diri dengan mempunyai minat mendalam terhadap media, passion, minat yang datang dari dalam diri yang diipacu oleh passion, berilmu dan bersedia menjadi pekerja ilmu, mengasah kemahiran menulis dengan pengukuhan penguasaan bahasa serta bijak membezakan di antara idealisme dengan realiti sebenar kehidupan,” kata Chamil.
Sementara itu menurut Salim, syarat kemasukan untuk menjadi pemberita sekarang semakin ketat dengan memilih mereka yang mempunyai PNGK 3.0 ke atas untuk berkhidmat dengan media, mempunyai sikap yang betul dan bakat yang pelbagai termasuk menguasai teknologi ICT.
“Apatah lagi dalam persaingan besar di antara media cetak dengan media atas talian yang secara nyata telah mengurangkan jualan akhbar harian sekarang ini dengan minat anak-anak muda terutamanya lebih kepada media sosial,” katanya lagi.
Kira-kira 300 orang terutamanya pelajar menghadiri forum anjuran Pusat Pengajian Komunikasi dengan Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) USM.
Turut diadakan pada majlis tersebut ialah penandatanganan persefahaman di antara USM melalui Pusat Pengajian Komunikasi dengan Al-Hijrah Media Corporation, Star Radio Group anak syarikat Rinmakmur Sdn. Bhd, Persatuan Agensi Pengiklanan Bumiputera Kuala Lumpur dan Selangor (PRIBUMI) serta Jabatan Komunikasi Universitas Gadjah Mada Indonesia.
Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Dekan Pusat Pengajian Komunikasi Profesor Madya Dr. Jamilah Ahmad, Ketua Pegawai Operasi Star Radio Group Kudsia Kahar, Ketua Pegawai Eksekutif Al-Hijrah Dato’ Che’ Wan Alias Che’ Wan Abdullah, Presiden Persatuan Agensi Pengiklanan Bumiputera Kuala Lumpur dan Selangor Dato’ Rosle Mat serta Ketua Jabatan Komunikasi Universitas Gadjah Mada Indonesia Profesor Dr. Juventius Agustinus Nunung Prajarto. - Teks: Mohamad bin Abdullah
- Created on .
- Hits: 1443