KEMBAR TERUJA SAMBUNG PENGAJIAN DI USM, BAPA LEGA BANTUAN PROGRAM SULUNG RINGANKAN BEBAN KEWANGAN
TELUK KUMBAR, PULAU PINANG, 1 Oktober 2023 – Pasangan kembar, Hilma Yasarah Hussain dan adiknya Hilma Yasirah Hussain, 19, menzahirkan keterujaan apabila hasrat mereka untuk menyambung pengajian secara bersama di Universiti Sains Malaysia (USM) tercapai.
Keterujaan itu turut dikongsi bapa mereka, Hussain Shariff, 61, yang menyifatkan kejayaan anak kembarnya itu diiringi dengan rasa syukur dan lega kerana dalam masa yang sama, anaknya terpilih menerima bantuan khas Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG).
Hussain berkata, bantuan itu sangat berguna buat mereka kerana ia dapat menampung sebahagian besar perbelanjaan yang perlu ditanggung untuk merealisasikan harapan anak-anaknya untuk ke Universiti.
“Saya memang tidak mampu. Walaupun gembira anak dapat menyambung pelajaran, namun pada mulanya saya terdetik rasa risau dan khuatir tidak dapat menampung perbelanjaan pengajian mereka kelak.
“Namun dengan adanya bantuan seumpama ini, saya amat terharu dan bersyukur kerana ia dapat meringankan beban kewangan kami sekeluarga,” ujarnya yang bekerja sebagai buruh kampung dengan pendapatan kira-kira RM600 sebulan.
Beliau ditemui ketika lawatan khas Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed ke kediaman mereka bagi menyerahkan surat tawaran kemasukan pelajar baharu ke USM serta beberapa bantuan khas lain termasuk sumbangan wang tunai dan kit keperluan asas ke asrama.
Abdul Rahman berkata, seiring dengan usaha kerajaan bagi memelihara kebajikan pelajar negara dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah, USM menyambut baik hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membantu pelajar dari golongan B40 menerusi Program SULUNG bagi Sidang Akademik 2023/2024.
Beliau juga berkata, inisiatif Program SULUNG berkenaan amat selari dengan usaha USM untuk mencapai agenda APEX iaitu memperkasakan golongan terkebawah (bottom billion).
“USM mensasarkan seramai 1,000 orang pelajar bagi pengambilan kategori Siswa SULUNG yang mana keutamaan akan diberikan kepada pelajar baharu, dan pelajar sedia ada juga boleh memohon untuk memenuhi kuota yang telah ditetapkan.
“Bagi memenuhi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), pihak universiti akan terus membantu golongan terkebawah ini bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi juga dari segi coaching dan mentoring agar mereka berjaya sebaik mungkin,” katanya.
Tambahnya, USM sentiasa komited memperkasa sosio-ekonomi masyarakat dan berusaha memastikan para graduan mendapat pekerjaan yang sesuai mengikut kelayakan masing-masing, seterusnya dapat mengubah kehidupan keluarga mereka ke arah lebih baik kelak.
Turut hadir ke sesi berkenaan ialah Yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Dr. Azlan Amran; Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Shaharudin Samsurijan; serta pegawai-pegawai dari BHEPA USM.
Hilma Yasarah dan adik kembarnya yang dilahirkan selang 15 minit itu adalah antara yang pertama dalam kalangan ahli keluarganya yang berjaya menjejakkan kaki ke menara ilmu.
Kedua-dua mereka ditawarkan untuk mengikuti bidang pengajian Kejuruteraan Mekatronik di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Hilma Yasarah berkata, dia bersyukur dan gembira kerana USM merupakan pilihan pertama dalam permohonannya ke Unit Pusat Universiti (UPU) dan berasa lebih mudah juga apabila pasangan kembarnya juga diterima masuk bersama.
“Harapan saya adalah untuk mengubah nasib keluarga saya ke arah ekonomi yang lebih baik dan saya bersyukur kerana saya juga dipilih untuk menerima inisiatif tawaran Program SULUNG ini dari pihak kementerian dan universiti,” katanya.
Turut diraikan dalam sesi kunjungan tersebut ialah bakal pelajar Sastera Terjemahan dengan Interpretasi USM, pelajar Orang Asli, Khawlah Al Azwar Bah Eak yang berasal dari Perak.
Dalam pada itu, Program Siswa SULUNG USM bermatlamat untuk memperkasakan generasi pertama dalam keluarga B40 yang belum ada ahli keluarga melanjutkan pengajian ke pendidikan tinggi peringkat ijazah sarjana muda.
Antara manfaat Program SULUNG USM adalah:
- Memberi bantuan kewangan kepada Siswa SULUNG USM dalam bentuk pengecualian bayaran yuran universiti kecuali yuran penginapan sepanjang tempoh pengajian di USM;
- Menjamin aspek kebajikan siswa SULUNG USM dari segi mentoring, pemantauan dan penasihatan akademik serta bimbingan kaunseling;
- Membangunkan potensi dan membentuk jati diri siswa SULUNG USM yang seimbang dan holistik melalui program HEBAT dan pembangunan akademik di USM.
Semoga inisiatif pelaksanaan SISWA SULUNG ini dapat melahirkan mahasiswa yang HEBAT (Holistic, Enterpreneurial, Balanced, Articulate, Thinking) dalam usaha pemerkasaan mahasiswa yang berkonsepkan J.E.R.I.S. (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial).
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi & Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1278