PROJEK LIBATSAMA UNIVERSITI-KOMUNITI GERAN BJIM: PPPJJ BANTU PERKASA SAINS DAN TEKNOLOGI PELAJAR SK JALAN BAHARU, PERAI
SEBERANG PERAI TENGAH, 26 September 2023 – Pelajar sekolah merupakan generasi yang bakal mengemudi bangsa dan memimpin negara pada masa hadapan, dan penguasaan mereka dalam bidang sains dan teknologi adalah amat penting demi kemajuan dan pembangunan negara.
Menyedari hakikat ini, sekumpulan pensyarah dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) Universiti Sains Malaysia (USM) telah melaksanakan Projek Libatsama Universiti-Komuniti di bawah Geran Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM yang bertajuk Program Memperkasakan Minat Murid Terhadap Bidang Sains & Teknologi di Sekolah Kebangsaan Jalan Baharu, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.
Majlis penutup program berkenaan telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Mesyuarat Sekolah Kebangsaan Jalan Baharu, hari ini.
Seramai 50 orang murid yang terdiri dari tahun 2 hingga tahun 6 termasuk 5 orang pelajar berkeperluan khas dari Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan 30 orang guru dari sekolah berkenaan telah terlibat dalam program ini.
Ketua projek, ChM Anis Tasnim Md Yusof, pensyarah di PPPJJ, USM berkata, objektif projek ini telah berjaya dicapai, yang mana berdasarkan soal selidik yang dikendalikan terdapat lebih 70% peserta telah menunjukkan peningkatan minat dalam bidang sains dan teknologi setelah mengikuti program yang dijalankan.
Pelbagai aktiviti seperti pertandingan rekacipta dan eksperimen yang menarik seperti Vomiting Volcano dan Magic Balloon telah dijalankan untuk menarik minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi, dan seterusnya membantu mereka untuk berfikir secara kritis dan kreatif.
Pemenang pertandingan rekacipta di peringkat sekolah juga telah dibawa menyertai SIRIM Invention, Innovation and Technology Expo 2023 yang diadakan di SIRIM, KULIM pada bulan Julai 2023 yang lalu dan berjaya memenangi “Silver Award”.
Pada majlis penutup tersebut, peserta-peserta dihadiahi dengan “Chem Kit 4 Kids” iaitu kit eksperimen yang dihasilkan sendiri oleh pensyarah-pensyarah bidang Kimia, PPPJJ.
- Created on .
- Hits: 659