LITAR ANTARABANGSA SEPANG UJI KEMAMPUAN ATLET USM
SEPANG, 19 Mei 2015 – Seramai 16 orang atlet dalam kalangan staf dan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) diuji dalam perlumbaan sulung acara berbasikal ‘Varsity Cycling Challange 2015’ di sini baru-baru ini.
USM mendapat tempat keempat bagi kategori staf Institut Pengajian Tinggi (IPT) berpasukan dengan catatan masa 3 jam 58 saat dengan perbezaan masa 1.3 saat sahaja di belakang Universiti Multimedia (MMU).
Menurut jurulatih pasukan, Eddie Norshamshidi Abd Rashid beliau telah menjangkakan keputusan tersebut berdasarkan kemampuan dan persaingan yang hebat dari peserta lain.
“Walaupun kita tidak memenangi sebarang pingat pada kejohanan kali ini saya tetap berpuas hati dengan pencapaian dan kesungguhan yang ditunjukkan setiap peserta,” kata Eddie.
Manakala Pengurus Pasukan, Abdul Hafiz Abdul Hamid berkata perlumbaan tersebut merupakan permulaan yang baik buat atlet USM terutamanya dalam pembangunan sukan basikal jalan raya.
“Perlumbaan hari ini memberi pendedahan baru dan membuka peluang kepada atlet USM terutamanya bagi acara berbasikal jalan raya,” kata Hafiz.
Menurut beliau lagi, semua atlet berbasikal yang menyertai perlumbaan ini akan terus diberi latihan yang lebih intensif untuk kejohanan yang akan datang terutamanya dalam menghadapi Sukan Staf Antara Institut Pengajian Tinggi Awam (SUKUM) pada bulan Ogos nanti.
Program anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ini telah disertai oleh lebih 30 pasukan termasuk Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan sekolah-sekolah seluruh negara dengan mempertandingkan hadiah untuk 12 kategori.
Salah seorang atlet USM, Abdul Halim Che A’ At yang juga pemenang pingat emas bagi kategori individu lelaki senior di SUKUM tahun lalu berkata, latihan yang lebih intensif dan pendedahan yang lebih banyak dalam perlumbaan mampu memperbaiki keputusan pada masa depan.
“Ini pengalaman pertama saya bertanding dalam acara basikal jalan raya dan banyak pengajaran berguna yang saya perolehi dalam perlumbaan ini,” kata Abdul Halim.
“Kelekaan dan perasaan terlalu yakin adalah antara cabaran dan sikap yang perlu diberi perhatian pada masa hadapan untuk lebih berjaya,” tambah atlet basikal harapan USM.
Seramai 500 orang peserta menyertai pertandingan ini dalam kategori individu dan berpasukan lelaki dan wanita pelajar IPT, staf berpasukan lelaki, veteran individu dan berpasukan lelaki dan super veteran individu serta berpasukan lelaki dengan kayuhan sejauh 5.5 kilometer sepusingan dengan jarak yang berbeza berdasarkan kepada kategori yang dipertandingkan. Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Abdul Hafiz Abdul Hamid
- Created on .
- Hits: 1237