USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PPSK-LPPKN BEKERJASAMA BERKONGSI ILMU TANGANI MASALAH KEMISKINAN HAID MASYARAKAT ORANG ASLI

a4f527b0 ee21 49b6 a6e1 f8072fe96378

BALING, 27 September 2023 – Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah bekerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Pulau Pinang untuk menjayakan program Seminar Penjagaan Kesihatan Semasa Haid dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Program ini turut mendapat kelulusan dan kerjasama daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Selari dengan agenda APEX USM, program tersebut memfokuskan kepada kajian dalam komuniti asal negara ini dengan penglibatan daripada pensyarah dan staf USM serta menggalakkan penglibatan pelajar dalam penyertaan komuniti.

Berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Orang Asli Lubok Legong Baling, Kedah pada 19 Ogos 2023 yang lalu, program berkenaan telah mendapat sambutan yang positif dan menggalakkan daripada masyarakat di sana, yang mana hampir 50 orang peserta yang terdiri daripada kaum wanita dan juga remaja perempuan masyarakat Orang Asli Kensiu telah menyertai program itu.

ce2cd072 c95a 4586 9dfd 4c6c4f91d5a5

Selain itu, program usahasama menangani kemiskinan haid dalam kalangan wanita Orang Asli ini bukan sahaja melibatkan penyertaan daripada pelajar USM dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), tetapi juga telah menarik minat pelajar pertukaran dari Bournemouth University, United Kingdom.

Menurut Ketua Program yang juga merupakan pensyarah PPSK USM, Dr. Sharifah Zahhura Syed Abdullah, tujuan program ini adalah untuk menangani masalah yang wujud dalam kalangan remaja perempuan dan wanita Orang Asli untuk mereka membuka mata dengan mempunyai kesedaran tentang kebersihan diri semasa haid dan bagaimana jangkitan saluran reproduktif boleh berlaku.

“Pada dasarnya, program ini telah berjaya memberi impak yang positif kepada para peserta yang terlibat kerana maklumbalas yang diperoleh daripada para peserta menyatakan bahawa program atau aktiviti seumpama ini patut dilaksanakan lagi pada masa akan datang”, kata Sharifah Zahhura.

Program ini telah mencapai matlamatnya pada hari tersebut menerusi perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Pengarah LPPKN Pulau Pinang, Dr. Azura Abdullah.

ca57f6f5 79a7 40f0 949a 0ffeb6de5514

Azura dalam perkongsiannya menegaskan elemen asas yang perlu dititikberatkan dalam kalangan wanita dan juga remaja perempuan adalah ilmu pengetahuan mengenai kesihatan reproduktif dan kitaran haid, serta pengurusan dan penjagaan diri semasa haid.

Sementara itu, pensyarah Bahagian Antropologi dan Sosiologi PPSK USM, Dr. Shariffah Suraya Syed Jamaludin berkata, seminar penjagaan kesihatan semasa haid yang diadakan ini diihat sangat membantu serta menarik perhatian kaum wanita dan remaja perempuan Orang Asli di Lubok Legong.

“Penerangan mengenai organ reproduktif wanita serta langkah-langkah kebersihan dan penjagaan diri semasa haid telah berjaya menambah pengetahuan peserta yang terlibat dan secara tidak langsung dapat memberikan kesedaran kepada mereka tentang kepentingan penjagaan kebersihan diri yang betul semasa haid bagi mengelakkan penyakit-penyakit berbahaya kepada wanita,” kata Shariffah Suraya.

Pegawai JAKOA, Nafisah Awang Mat Isa pula berkata, pihak JAKOA menyambut baik program ini dan ianya wajar dan perlu diperluaskan ke perkampungan Orang Asli yang lain kerana ia memberi banyak manfaat berkaitan amalan terbaik pengurusan dan menjaga kebersihan diri terutama ketika haid. 

“Pendedahan berkaitan cara terbaik mengurus diri seperti ini juga dapat meningkatkan kesihatan remaja perempuan dan wanita Orang Asli ke tahap yang lebih baik, yang mana kita tahu jangkitan kuman yang teruk boleh menyebabkan berlakunya kanser servik,” katanya.

Pelaksanaan program yang berteraskan konsep perkongsian ilmu itu sangat relevan dengan keperluan semasa lebih-lebih lagi ianya melibatkan semua peringkat umur tanpa mengira latar belakang masyarakat.

Program tersebut juga dapat meningkatkan hubungan interaksi positif dan merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar. Secara khususnya ia membantu membasmi kemiskinan haid dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Malaysia.

Pihak PPSK USM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada LPPKN atas kerjasama dan perkongsian ilmu yang disumbangkan. Diharapkan lebih banyak program seperti ini dapat dijalankan pada masa akan datang.

Teks & Foto: Salniza Akmar & Dr. Sharifah Zahhura Syed Abdullah/ Suntingan: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi

  • Created on .
  • Hits: 506

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024