USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC UCAP SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL 1445H

7e9e95fd f180 4772 b17b a99e1c9e2708

USM PULAU PINANG, 28 September 2023 – "Bertemakan 'Perpaduan Teras Malaysia Madani,' marilah kita sama-sama raikan sambutan Maulidur Rasul kali ini dengan penuh kesyukuran, saling menghormati, mengambil peduli dan belas kasihan, bertoleransi, saling memaafkan dan menyeimbangi antara manusia dan alam."

Demikian ujar Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang mewakili kepimpinan tertinggi universiti mengucapkan Salam Maulidur Rasul 1445H kepada seluruh warga USM serta semua alumni, para sahabat dan rakan strategik.

“Saya mengharapkan dengan semangat sambutan ini, kita dapat bersama-sama sebagai satu pasukan yang kuat dalam menghadapi segala cabaran dan merealisasikan tanggungjawab untuk memartabatkan Menara Ilmu dan universiti ini ke mercu kejayaan,” tegasnya lagi.

Ini selari dengan peribadi Rasulullah SAW yang menghargai kepelbagaian dan meraikan perbezaan dalam pendapat dan pelaksanaan, demi memastikan wujudnya kesepakatan, kemuafakatan dan perpaduan, selagi ianya tidak bercanggah dengan segala perintah Allah.

“Saya juga mengajak warga USM dan seluruh ummah untuk berselawat, mentaati perintah Allah SWT, mengamalkan semua sabda Rasulullah SAW serta turut mendoakan supaya rasa kasih dan cinta ummah kepada Nabi Muhammad semakin bertambah,” ujar Naib Canselor.  

Sambutan Maulidur Rasul SAW adalah untuk memperingati hari ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW. Maulidur Rasul disambut oleh umat Islam di seluruh dunia pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal iaitu bulan ketiga dalam takwim Hijrah.

Ia juga wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Rasulullah SAW.

SALAM MAULIDUR RASUL 1445H.

  • Created on .
  • Hits: 400

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024