PERPUSTAKAAN USM BANTU TAMBAH BAIK PUSAT SUMBER SEKOLAH ANAK-ANAK ORANG ASLI
GERIK, 25 September 2023 – Seramai 16 sukarelawan terdiri daripada staf Perpustakaan Induk dan Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) telah turun padang untuk menggembleng tenaga bagi menaik taraf fasiliti pusat sumber Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang, Gerik yang anak muridnya terdiri dalam kalangan Orang Asli Jahai di Kampung Sungai Tiang, Gerik, pada bulan Ogos yang lalu.
Usaha tersebut dijalankan melalui program pemindahan ilmu dan khidmat masyarakat Perpustakaan USM yang bertujuan untuk menyumbang kepada pemerkasaan kesejahteraan sosial masyarakat dan memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.
Ketua Pustakawan USM, Arinawati Ayob berkata, pusat sumber sekolah yang kondusif yang dilengkapi fasiliti dan bahan bacaan terbaik adalah sangat penting untuk memupuk minat membaca dalam kalangan murid sekolah rendah.
“Kami terpanggil untuk membantu menambah baik fasiliti bagi sekolah anak-anak Orang Asli memandangkan kami sedia maklum yang mereka agak jauh di pedalaman dan sukar berhubung dengan dunia luar.
“Kami juga berharap usaha kecil di Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang ini secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan kemahiran membaca dalam kalangan murid-murid Orang Asli,” katanya.
Sejak tahun 2010, Perpustakaan USM telah membantu menambah baik lebih daripada 13 pusat sumber sekolah dan perpustakaan komuniti termasuk dua sekolah anak-anak Orang Asli.
Aktiviti yang dijalankan semasa program termasuk transformasi ruang dalaman dan luaran pusat sumber, pengurusan semula koleksi, sumbangan bahan bacaan, rak dan meja serta pembangunan sistem pusat sumber sekolah.
Teks: Asma Wati Ibrahim/Foto: Pasukan Produksi Perpustakaan USM
- Created on .
- Hits: 512