USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENDAFTAR USM TERIMA ANUGERAH TOKOH MAAL HIJRAH 1444H

c3bae4d2 3a8d 44ba 81c0 56e2452f8dc1

USM PULAU PINANG, 26 September 2023 – Pendaftar Universiti Sains Malaysia (USM), Dato' Dr. Musa Ali telah diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah bagi tahun 1444H atas segala jasa dan sumbangan yang diberikan sepanjang berkhidmat di USM.

Musa dalam ucapannya yang mewakili senarai penerima anugerah lain telah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jawatankuasa Pemilih yang telah membuat penilaian.

“Saya percaya perasaan gembira ini juga dikongsi oleh semua penerima anugerah tentang peri pentingnya sokongan pasangan hidup, keluarga dan orang di sekeliling dalam mengatur langkah kita sepanjang hidup ini,” kata Musa.

Musa bersama-sama dengan 20 orang penerima Anugerah Khas Kecemerlangan Pusat Islam, dua orang penerima Anugerah Kecemerlangan Maal Hijrah (Sokongan), seorang penerima Anugerah Kecemerlangan Maal Hijrah (Pengurusan dan Profesional), dua orang penerima Anugerah Kecemerlangan Maal Hijrah (Akademik), seorang penerima Anugerah Khas Maal Hijrah dan dua orang penerima Anugerah Tokoh Dakwah telah menerima anugerah masing-masing daripada Naib Canselor USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersempena Majlis Sambutan Maal Hijrah dan Maulidur Rasul 1445H peringkat Universiti yang diadakan pada petang ini di Dewan Palinggam Cahaya, Pusat Pengajian Seni, di sini.

Sambutan secara serentak Maal Hijrah dan Maulidur Rasul anjuran Pusat Islam USM pada tahun ini berlangsung dengan penuh kesederhanaan tetapi meriah telah membawa tema "Perpaduan Teras Malaysia Madani".

Berucap di majlis perasmian sambutan tersebut, Naib Canselor merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada kesemua penerima Anugerah Maal Hijrah dan Maulidur Rasul USM yang telah menaburkan khidmat bakti mereka kepada USM dan masyarakat.

Beliau turut berkata, “pemilihan tema pada tahun ini adalah bertepatan dengan Islam yang mengajak manusia untuk saling menghormati, mengambil peduli dan belas kasihan, bertoleransi, saling memaafkan dan menyeimbangi antara manusia dan alam.”

Tambah beliau, “saya menyeru agar seluruh warga USM untuk menjadi model peranan (role model) berimpak tinggi kepada masyarakat berlandaskan kepada Agenda APEX universiti, dengan membantu mana-mana pihak yang memerlukan bantuan terutamanya golongan terkebawah bottom billion.”

Mengakhiri ucapannya, Abdul Rahman mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya Jawatankuasa Majlis Sambutan Maal Hijrah dan Maulidur Rasul 1445H yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Pusat Islam, Ustaz Zayd Zhari yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan sambutan kali ini.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Islam, Ustaz Mohammad Shukri Osman mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Naib Canselor dan tahniah kepada Dato’ Pendaftar serta kesemua penerima anugerah. Didoakan kesemua warga USM dan menara ilmu tercinta ini diberkati Allah, dicintai Rasulullah dan disayangi warga dan rakyat seluruhnya.

Anugerah Tokoh Dakwah USM bagi tahun 1444H telah dianugerahkan kepada pesara Pusat Islam USM, Ustaz Haji Abdul Rahman Che Nik.

Pada majlis yang sama, Naib Canselor turut melancarkan projek wakaf Multipurpose Open Structure al-Malik yang bertujuan menaik taraf al-Malik Square masjid agar ruang tersebut dapat digunakan mengikut keperluan golongan sasaran tertentu. Cadangan perbelanjaan yang diperlukan ialah sebanyak RM2 juta.

Program turut diserikan lagi dengan bacaan ayat suci Al-Quran dan selingan persembahan khas oleh Johan Qariah Tilawah Al-Quran Tahun 2019 Peringkat Antarabangsa, Ustazah Farhatul Fairuzah Panut.

SALAM MAULIDUR RASUL 1445 HIJRAH.

Teks: Nurhidayah Shahbuddin & Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 259

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024