USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WARGA USM DISERU JADI MODEL PERANAN MASYARAKAT BERLANDASKAN AGENDA APEX UNIVERSITI

ee0d1571 f470 49c3 b18b 84f8083f546b

USM PULAU PINANG, 26 September 2023 – Hadir merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah dan Maulidur Rasul Peringkat USM bagi tahun 1445H/2023M, Naib Canselornya, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed hari ini menyeru agar seluruh warga Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi model peranan (role model) berimpak tinggi kepada masyarakat berlandaskan kepada Agenda APEX universiti.

Menurut beliau, sejak penubuhannya, USM, melalui Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS), dan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) telah berjaya menjadi contoh kepada agensi-agensi kerajaan yang lain dalam membantu masyarakat terutamanya dalam membasmi kemiskinan.

Pencapaian ini menurut beliau adalah penting kerana dalam Agenda APEX, kita bukan sekadar ingin menjadi model peranan di dalam kampus semata-mata, tetapi juga ingin menjadi sebuah institusi berimpak tinggi kepada mereka di luar sana, khususnya yang benar-benar memerlukan bantuan.

“Tokoh Maal Hijrah tahun 2023, Dato’ Dr. Hj. Musa Ali bersama-sama 20 orang penerima Anugerah Khas Kecemerlangan Pusat Islam, dua orang penerima Anugerah Kecemerlangan Maal Hijrah (Sokongan), seorang penerima Anugerah Kecemerlangan Maal Hijrah (Pengurusan dan Profesional), dua orang penerima Anugerah Kecemerlangan Maal Hijrah (Akademik), seorang penerima Anugerah Khas Maal Hijrah dan dua orang penerima Anugerah Tokoh Dakwah ini merupakan cerminan terbaik kepada nilai-nilai APEX universiti,” ulas beliau.

“Mereka dipilih bukan sahaja berdasarkan kepada pencapaian hebat masing-masing di dalam USM, tetapi kerana telah berjaya menjadi wakil universiti dalam memberikan khidmat berkesan kepada masyarakat di luar sana,” kata beliau.

“Pencapaian ini menunjukkan bahawa peranan USM sebagai sebuah universiti itu bukan sekadar berpaksikan kepada sistemnya sahaja, namun turut disokong oleh individu-individu yang berkhidmat di dalamnya,” tambah Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Islam, Ustaz Mohammad Shukri Osman berkata, jabatan itu sentiasa menyokong saranan yang sering ditekankan oleh Naib Canselor supaya aktiviti-aktivitinya berfokuskan kepada golongan sasaran dari kalangan B40.

“Salah satu daripadanya adalah melalui Pertandingan rekacipta Al Malik Square ‘Al Malik Khalid Mosque Multipurpose Open Structure’ tahun 2023, yang mana projek multipurpose open structure ini kelak bakal memberi impak kepada golongan sasaran dengan cadangan perbelanjaan sebanyak RM2 juta,” kata beliau.

“Malah, projek tersebut yang dilancarkan oleh Naib Canselor hari ini akan turut mengambil kira pencapaian penyelidikan terdahulu sebelum ia kemudiannya disasarkan kepada penyelidikan yang berfokuskan kepada golongan B40 ini, khasnya dari kalangan jemaah dan warga USM,” kata Shukri.

“Saya yakin, usaha, inovasi dan kreativiti ini bakal memenuhi sebahagian daripada matlamat ulung Pusat Islam dalam memartabatkan Masjid Al Malik Khalid sebagai masjid universiti berlandaskan kepada Agenda APEX USM,” tambah beliau.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 249

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024