USM, MELILEA SDN. BHD. METERAI PERSEFAHAMAN TINGKAT KEBOLEHPASARAN GRADUAN JURUSAN NUTRISI DAN DIETETIK
USM PULAU PINANG, 26 September 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan MELILEA Sdn. Bhd. telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam kerjasama strategik kedua-dua pihak bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan pengkhususan Nutrisi dan Dietetik di negara ini.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, kerjasama yang dimeterai melalui Pusat Pengajian Sains Kesihatan, USM dan MELILEA Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat yang terlibat dalam produk makanan kesihatan organik, berupaya meningkatkan kemahiran graduan-graduan USM dalam bidang tersebut melalui program latihan industri yang disediakan.
“Menerusi kerjasama yang terjalin, saya percaya ia akan mewujudkan laluan kerjaya yang lebih baik buat graduan USM jurusan Nutrisi dan Dietetik bagi memastikan industri ini dapat diperkasakan secara profesional di masa hadapan menerusi kursus akademik dan industri yang disediakan oleh kedua-dua pihak,” katanya ketika hadir di majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara USM dengan MELILEA Sdn. Bhd.
Tambah beliau lagi, hasil daripada MoU ini, pelajar USM akan dapat melibatkan diri dalam suasana industri yang realistik sebagai sebahagian daripada latihan industri mereka di samping berupaya mengembangkan kemahiran interpersonal dan intrapersonal mereka.
“Selain itu, para ahli akademik juga dapat menjalankan lebih banyak penyelidikan dan inovasi kolaboratif bersama MELILEA yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” kata Abdul Rahman.
Bercakap di majlis yang sama, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan MELILEA Sdn. Bhd., Datuk Profesor Dr. Alan Wong Kwai Hua berkata, sememangnya menjadi tanggungjawab industri bagi membantu universiti untuk melatih dan membina kemahiran pelajar universiti supaya ia sentiasa relevan dan memenuhi kehendak semasa industri di negara ini.
“MELILEA dan USM akan berkolaborasi menyediakan kemudahan latihan dan kemahiran buat pelajar dan staf akademik dalam penyelidikan dan pembangunan melalui bengkel, seminar, kursus jangka pendek dan juga program-program akademik yang dianjurkan bersama, seterusnya dapat melahirkan graduan USM yang berupaya menjadi tenaga pakar dan perunding dalam bidang pengkhususan ini di negara ini,” jelas beliau lagi.
Yang turut hadir ke majlis tersebut adalah Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Presiden Eksekutif MELILEA Sdn. Bhd., Datuk Profesor Dr. Stella Chin Kui Yin; Ketua Projek merangkap Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Profesor Dr. Hamid Jan Jan Mohamed dan Pengarah Eksekutif MELILEA Sdn. Bhd., Wee Siew Ling.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 563