PROGRAM PENGUMPULAN E-WASTE ISI RUMAH ANJURAN PPKBSM BERI KESEDARAN BERKAITAN PEMBUANGAN SISA ELEKTRIK DAN ELEKTRONIK
NIBONG TEBAL, 26 September 2023 – Program Pengumpulan E-waste Isi Rumah yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM) Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi medium dalam memberi kesedaran kepada kakitangan serta pelajar USM berkaitan dengan kaedah pembuangan sisa elektrik dan elektronik dengan cara yang betul.
Berikut dinyatakan oleh Dekannya, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha dalam majlis perasmian program tersebut di Kampus Kejuruteraan USM di sini pada 9 September 2023, sambil menekankan bahawa ianya adalah bertepatan dengan hala tuju universiti yang menjadikan aspek kelestarian sebagai keutamaan.
“Seperti yang kita sedia maklum, USM berada di tangga ke-4 dunia selama 2 tahun berturut-turut dalam penarafan ranking impak global Times Higher Education (THE) dan ianya menunjukkan kesungguhan USM dalam agenda kelestarian,” kata beliau.
“Selain itu, aktiviti ini juga adalah bertujuan untuk mendapatkan sejumlah papan litar bercetak yang terpakai bagi tujuan penyelidikan yang berkaitan dengan perolehan logam daripada sisa elektrik dan elektronik dengan menggunakan kaedah hidrometalurgi yang lebih mesra alam.
“Kajian bagi menghasilkan produk komposit polimer berasaskan bahan kitar semula papan litar bercetak juga akan dilakukan hasil dari aktiviti ini,” tambah Mariatti.
“Apatah lagi menurut beliau, masalah sisa elektrik dan elektronik yang semakin meningkat pada masa kini telah menimbulkan kebimbangan terhadap ketidakmampuan aktiviti kitar semula untuk bersaing dengan longgokan e-sisa (E-waste) yang dihasilkan oleh pengguna saban hari.
“Sisa elektrik dan elektronik mengandungi bahan berbahaya seperti plumbum, merkuri dan cadmium yang mana apabila sisa ini tidak diurus dengan baik, toksin ini boleh meresap ke dalam persekitaran, mencemarkan tanah, air, dan juga udara persekitaran, kemudiannya menimbulkan risiko kesihatan yang serius kepada manusia serta haiwan,” kata Mariatti lagi.
Justeru itu penganjuran program seperti ini dilihat sebagai satu platform yang terbaik bagi meningkatkan kesedaran dan rasa tanggungjawab warga USM dengan melupuskan buangan elektrik dan elektronik isi rumah dengan kaedah yang betul serta selamat.
Dalam majlis yang sama, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang (JASPP), Puan Norma Abd Razak dalam ucapan beliau menyatakan bahawa kutipan untuk program yang dijalankan oleh PPKBSM setakat ini sudah mencapai 0.6 tan metrik (MT).
“Kutipan ini bermaksud pihak pusat pengajian telah berjaya mengelakkan sejumlah 0.6MT E-waste dari dilupuskan dengan cara yang tidak selamat atau lebih teruk lagi, dibuang ke tapak pelupusan sampah.
“E-waste yang dikumpulkan pada hari ini akan dilupuskan ke premis yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar seperti Syarikat Bigwise yang turut serta dalam program kita pada pagi ini, yang mana mereka merupakan salah satu daripada 45 premis berlesen serta diluluskan oleh JASPP,” kata Norma.
“Semoga program selama dua hari, dari 9 hingga 11 September ini akan menjadi titik tolak kepada kerjasama lanjut antara USM dan JAS di samping memberi kesedaran serta mewujudkan sikap tanggungjawab atau pematuhan kendiri warganya yang cakna tentang kepentingan menjaga alam sekitar,” tambah beliau lagi.
E-waste merupakan barangan elektrik dan elektronik yang telah rosak, tidak berfungsi, lama atau usang seperti telefon bimbit, komputer, televisyen, mesin basuh, peti sejuk serta pendingin hawa dan ianya dibahagikan kepada dua jenis punca iaitu daripada sektor industri dan isi rumah.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Meor Mohamad Noh Abdul Majid
- Created on .
- Hits: 384