SPICES: GALERI UNIK PEMBELAJARAN TARUHAN BAHARU TARIK PELAJAR PILIH BIDANG PERUBATAN USM
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 September 2023 – Galeri Interaktif Sains Perubatan atau lebih dikenali sebagai ‘SPICES’ yang menelan belanja sebanyak RM2.4 juta di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan ruang pameran dengan reka bentuk gabungan sains dan seni bakal memberi pengalaman unik dan menarik minat pengunjung mendalami ilmu perubatan.
Galeri berkonsepkan teknologi interaktif itu merupakan tempat pengajaran dan pembelajaran yang menarik serta menjadi ikonik untuk Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, ‘SPICES’ merupakan satu-satunya galeri yang menggabungkan idea sains dan seni serta memberi kelainan bukan hanya kepada USM tetapi juga kepada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) lain yang menawarkan program Perubatan di Malaysia.
“Galeri bernilai RM2.4 juta ini mengandungi organ patologi mengikut sistem badan manusia dilengkapi kod QR yang dipamerkan, panel interaktif, sistem audio, 'Virtual Reality' (VR) dan 'Augmented Reality' (AR) serta pemetaan 3D organ manusia yang pastinya akan memberi pengalaman baharu kepada pengunjung.
"Terdapat lebih 200 spesimen yang membabitkan organ badan manusia diawet dan dipamerkan termasuk sel kanser serta ketumbuhan yang diambil daripada pesakit yang mendapat rawatan di Hospital USM sejak hospital mula beroperasi pada tahun 1984.
“Galeri ini tidak terhad kepada pelajar program Doktor Perubatan PPSP sahaja, tetapi ianya merupakan ruang pembelajaran dan pengajaran yang sesuai untuk para pelajar di Kampus Kesihatan USM termasuk pelajar Ijazah Sarjana selain turut dibuka kepada orang awam terutamanya pelajar sekolah bagi menarik minat mereka terhadap ilmu sains dan kesihatan khususnya perubatan,” ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan galeri tersebut, hari ini.
Menurut Abdul Rahman, nama ‘SPICES’ tercetus sempena falsafah PPSP iaitu S (Student-centred) P (Problem-based), I (Integrated), C (Community-based), E (Electives) and S (Systematic and Spiral). SPICES juga bermaksud ruang interaktif untuk pengajian perubatan ‘SPace for InteraCtivE Medical Studies’.
“’SPICES’ dibangunkan berdasarkan idea asal untuk menubuhkan Muzium Patologi.
“Namun, dengan sokongan pengurusan tertinggi USM yang menyambut baik usaha PPSP, pengurusan mencadangkan serta memberi cetusan idea baharu ‘beyond pathology’ selain meluluskan bajet yang besar untuk penubuhan ‘SPICES’.
“Dengan gabungan idea daripada pasukan pereka yang diketuai oleh mantan Pengarah Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, USM, Profesor Madya Dr. Hasnul Jamal Saidon dan pasukan dari PPSP yang diwakili oleh Profesor Emerita Dr. Nor Hayati Othman dan Profesor Madya Dr. Sharifah Emilia Tuan Sharif, maka lahirlah ‘SPICES’ pada hari ini,” ujarnya lagi.
Tambah Abdul Rahman, ‘SPICES’ bukan sahaja berfungsi sebagai galeri biasa, tetapi ia merupakan ruang kondusif yang dilengkapi dengan teknologi terkini, model interaktif dan multimedia yang menarik seiring dengan pertumbuhan masa kini yang akan melengkapkan serta menambahbaik kaedah pengajaran dan pembelajaran konvensional sebelum ini.
“’SPICES’ adalah bukti komitmen USM terhadap inovasi dan kecemerlangan dalam pendidikan dan penyelidikan.
“Ia merupakan pencapaian penting, penumpuan teknologi, pengetahuan perubatan dan seni pembelajaran serta melambangkan komitmen USM dalam menyediakan suatu pengalaman pembelajaran yang lebih kreatif dan dinamik kepada para pelajar,” jelasnya.
Abdul Rahman turut berharap agar galeri ini menjadi sumber inspirasi kepada para pelajar, profesional perubatan dan masyarakat yang ingin memahami lebih mendalam tentang perkembangan sains khususnya bidang perubatan.
“Ia juga merupakan langkah untuk mewujudkan kesedaran tentang kepentingan penyelidikan dan pembangunan bagi mencapai perubahan positif dalam sektor kesihatan selain membawa Galeri Interaktif Sains Perubatan ini ke mata dunia,” ulasnya lanjut.
Turut hadir ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Dekan PPSP, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman; Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman; Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail; Timbalan-timbalan Dekan, Timbalan-timbalan Pengarah Hospital USM dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Perasmian SPICES, Profesor Madya Dr. Sharifah Emilia Tuan Sharif.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 678