MGTF USM SEKALI LAGI TERPILIH DALAM PROGRAM BDM - PUPUK SEMANGAT CINTA TANAH AIR DAN WARISAN KEBANGSAAN DALAM KALANGAN PELAJAR SEKOLAH
USM PULAU PINANG, 23 September 2023 – Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi telah terpilih untuk menyertai Program Bermalam di Muzium (BDM) 2023 buat kali keempat bersama 25 muzium lain di seluruh negara dengan penglibatan pelajar berusia 13 hingga 15 tahun.
Seramai 54 orang pelajar dari sembilan buah sekolah di sekitar Pulau Pinang dan Kedah telah menyertai program tersebut di MGTF USM, dan antara sekolah yang terpilih mengikuti program itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakti; SMK Guar Perahu Indah; SMK Seberang Jaya; SMK Pondok Upeh; SMK Bukit Gambir; SMK Taman Hi-Tech; SMK Gemilang; SMK Sungai Nibong; dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al-Madrasah Al-Khairiah Al-Islamiah.
Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM) tersebut diadakan kembali setelah dihentikan selama tiga tahun ketika dunia berperang dengan wabak COVID-19 hampir dua tahun.
Objektif program adalah untuk menanamkan semangat cinta akan tanah air selain memupuk apresiasi yang tinggi dalam kalangan generasi muda terhadap warisan sejarah, seni dan budaya negara menerusi aktiviti permuziuman.
Program tersebut dijalankan selama 2 hari 1 malam pada 22 September hingga 23 September 2023.
Pemangku Pengarah MGTF, Afzanizam Mohd Ali mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua peserta yang berjaya melalui kesemua cabaran BDM.
“Saya berharap agar setiap peserta pulang dengan membawa ilmu yang berharga terutamanya dari segi nilai persahabatan, kerjasama dan bertolak ansur di samping menimba pengalaman baru iaitu bermalam di muzium, yang mana secara tidak langsung dapat menolak dogma lama yang melihat muzium sebagai tempat berhantu dan menyimpan khazanah yang mati,” kata Afzanizam.
Tambahnya lagi, MGTF USM akan menganjurkan lebih banyak lagi program yang berbentuk kemasyarakatan dan akan cuba untuk menormalisasikan institusi muzium khususnya buat kalangan rakyat Malaysia.
Pelbagai akiviti menarik diadakan sepanjang berlangsungnya program BDM dan antara kelainan yang dibawa adalah aktiviti Ekspresi Ikat dan Celup (Tie and Dye) dengan mewarnakan t-shirt putih menggunakan warna jalur gemilang.
Selain itu, aktiviti penghayatan Rukun Negara dijadikan sebagai salah satu acara wajib sejajar dengan inisiatif KPN dalam memperkasakan pembudayaan prinsip Rukun Negara di semua peringkat.
Pada hari kedua program pula, pelajar mengikuti aktiviti senaman robik, merentas Universiti dan pelbagai acara sukaneka yang lain.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim dan MGTF USM
- Created on .
- Hits: 539