USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PAKAR BEDAH NEURO USM DIIKTIRAF OLEH NAM, TERIMA ANUGERAH PENCAPAIAN SEPANJANG HAYAT

Asset 23x2

PULAU PINANG, 23 September 2023 – Profesor Dato’ Dr. Hj Jafri Malin Abdullah, dari Pusat Pengajian Sains Perubatan/Hospital USM (HUSM), Universiti Sains Malaysia (USM), telah dipilih sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat (Lifetime Achievement Award).

Jafri Malin, yang juga Pengerusi ‘Brain Behaviour Research Cluster’ dan Profesor Neurosains di USM, telah dipilih oleh Persatuan Neurosurgeri Malaysia (Neurosurgery Association of Malaysia/NAM) untuk menerima anugerah tersebut pada kali ini.

Beliau adalah calon ke-4 yang terpilih untuk menerima anugerah dalam majlis yang diadakan setiap 2 tahun ini. Penerima pertama anugerah sebelum ini adalah Dato’ Dr. Selvapragasam, Mantan Ketua Perkhidmatan Neurosurgeri Malaysia KKM; diikuti dengan Dato’ Dr. Fadzli Cheah Abdullah, Mantan Presiden Persatuan Neurosurgeri Malaysia; dan seterusnya Dato’ Dr. Johari Adnan Siregar, Mantan Ketua Perkhidmatan Neurosurgeri KKM.

Anugerah ini diberikan kepada individu yang memberi sumbangan besar dalam bidang neurosurgeri, di samping dalam bidang pendidikan serta sebagai sumber inspirasi kepada calon-calon pakar bedah, dan juga yang telah memberikan impak dan kemajuan yang besar dalam bidang neurosurgeri di Malaysia.

Jafri Malin antara lain telah menghasilkan lebih 350 penulisan, di samping menjadi editor pelbagai jurnal dalam bidang terbabit. Beliau juga telah menghasilkan seramai 121 pakar bedah yang telah menamatkan pengajian dan latihan masing-masing.

Sehingga kini, beliau masih aktif dalam memberi kesedaran serta terlibat secara langsung dalam menghasilkan lebih ramai pakar bedah neuro, dan juga dalam bidang berkaitan seperti neurologi dan neuropsikologi.

Penyampaian anugerah tersebut telah berlangsung pada 17 September 2023 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. Turut hadir adalah pihak pengurusan NAM serta ahli-ahli persatuan tersebut.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin

  • Created on .
  • Hits: 545

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024