USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-MBSP JALIN KERJASAMA DALAM PENYELIDIKAN DAN KEMAHIRAN BERKAITAN MAKHLUK PEROSAK BANDAR

SEBERANG PERAI, 19 September 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam kerjasama penyelidikan dan pertukaran kepakaran, fasiliti serta kemahiran dalam isu-isu makhluk perosak bandar, terutamanya dalam mengawal populasi makhluk perosak burung dan tikus.

WhatsApp Image 2023 09 19 at 13.36.09
 

Antara MoU yang telah dimeterai pada hari ini adalah berkaitan:

1. ‘Integrated Urban Bird Pest Management and Its Baseline Study’ yang menumpukan kepada penetapan kaedah kawalan terbaik untuk mengawal populasi burung perosak dan;

2. ‘Strategic Partnership in Zero Rodent Project (Project ZoRo MBSPxUSM)’ yang menumpukan kepada menjalankan interaksi dan penglibatan komuniti mengenai kesedaran tentang potensi penyakit zoonosis yang berkaitan dengan tikus.

Kerjasama yang telah dijalinkan oleh USM dengan MBSP telah pun bermula sejak 2022, khasnya melalui Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat (SBS) USM dan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan. 

Sepanjang tempoh tersebut sehingga kini, melalui projek ini, kerjasama antara pihak USM dan MBSP telah berjaya diperluaskan dengan penglibatan jabatan-jabatan lain dari MBSP, dan juga pusat-pusat pengajian lain di USM seperti Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK), dan lain-lain. 

Majlis penandatanganan MoU itu disempurnakan oleh Datuk Bandar Seberang Perai, Dato’ Azhar Hj. Arshad bersama Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi USM, Profesor Dr. Azlan Amran yang hadir mewakili Naib Canselor USM, dan disaksikan oleh Setiausaha Bandaraya, Hj. Baderul Amin Abdul Hamid dan Dekan SBS USM, Profesor Dato’ Dr. Amirul Al-Ashraf Abdullah.

WhatsApp Image 2023 09 19 at 13.36.07 1
 
WhatsApp Image 2023 09 19 at 13.36.07
 

Menurut Azhar, MBSP sentiasa berusaha meneroka kaedah dan pendekatan baru dalam memastikan Seberang Perai terpelihara daripada kacau ganggu persekitaran.

“Selari dengan moto ‘Seberang Perai Aspirasi Bandar Masa Hadapan’, saya percaya kesemua perancangan dan tindakan jangka panjang yang digariskan akan dapat direalisasikan menerusi sinergi kukuh, baik sesama warga kerja MBSP mahupun antara MBSP dan USM,” kata Azhar.

Azlan dalam ucapannya berkata, SBS USM akan membantu MBSP untuk meningkatkan lagi hasil dapatan aktiviti intervensi burung gagak dan tikus melalui kualiti penyelidikan secara saintifik bagi memastikan pengurusan makluk perosak bandar ini lebih mampan di masa hadapan.

“Selari dengan agenda APEX USM dalam memperkasakan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sejagat, penyelidikan yang lebih saintifik dan menyeluruh semestinya dapat memberikan nilai tambah kepada aktiviti intervensi sedia ada.

Bukan itu sahaja, aktiviti bersama komuniti serta industri dapat memberi kesedaran tentang keperluan libatsama mereka bagi memastikan permasalahan ini dapat diuruskan dengan lebih cekap dan berjaya,” kata Azlan.

Turut diselitkan dalam majlis adalah Pelancaran Pelan Tindakan Pencegahan dan Kawalan Kacau Ganggu Burung Gagak MBSP (PETEGAK-MBSP), pelan seumpama itu yang pertama di Malaysia di bawah kelolaan Mohd Ibrahim dan Dr. Izzat Azmeer dari Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dengan kerjasama pensyarah SBS USM, Ts. Dr. Siti Nasuha Hamzah.

WhatsApp Image 2023 09 19 at 13.36.09 1
 

PETEGAK-MBSP 2023-2030 yang membabitkan program intervensi berdasarkan data ini akan melibatkan kerjasama penyelidikan dan sokongan pengurusan intervensi dari kedua-dua pihak USM dan MBSP.

Selain itu, diselitkan juga Majlis Apresiasi OPS CroSS MBSP 2023 bagi meraikan agensi-agensi serta individu yang menjayakan Program OPS CroSS MBSP melalui penyampaian anugerah penembak terbanyak bagi setiap daerah Seberang Perai Utara, Tengah dan Selatan Pulau Pinang.

WhatsApp Image 2023 09 19 at 13.36.11
 
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
 
  • Created on .
  • Hits: 398

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024