USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DARI MALAYSIA KE THAILAND, PROGRAM PERTUKARAN BUDAYA USM-UNIVERSITI RAJABHAT MENGHUBUNGKAN TRADISI

SONGKHLA, THAILAND, 19 September 2023 - Seiring dengan visi Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM) untuk melestarikan dan memelihara seni budaya tradisi, sebuah program Rantau Budaya Antarabangsa telah diadakan baru-baru ini pada 30 Ogos hingga 2 September 2023 yang lalu.

WhatsApp Image 2023 09 19 at 17.15.31 1

Program tersebut diadakan di Universiti Rajabhat, Songkhla, Thailand dengan kerjasama daripada Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC) USM, Pusat Pengajian Seni USM, Protege USM dan Fakulti Seni Halus Universiti Rajabhat dengan bertemakan Heritage Local Knowledge and Culture.

Program rantau budaya itu bukan sahaja melibatkan kakitangan Dewan Budaya dan Pusat Pengajian Seni, malah turut melibatkan seramai 15 orang pelajar daripada sekretariat Protege USM dan pelajar praktikal USM.

Manakala, pihak Fakulti Seni Halus Universiti Rajabhat juga disertai lebih 40 orang pelajar dan 16 orang kakitangan bagi bersama-sama menjayakan program tersebut. 

WhatsApp Image 2023 09 19 at 17.15.31 4

Objektif program tersebut bertujuan untuk memperkenalkan serta mengangkat kesenian tradisional Melayu dan mempelajari kesenian tradisional Thailand, yang mana ianya telah berjaya dicapai melalui bengkel dan persembahan kebudayaan muzik dan tarian yang berlangsung pada malam 31 Ogos di Universiti Rajabhat.

Bengkel Tarian Makyung yang dikendalikan oleh Artis Budaya (Muzik dan Tari Tradisional) Dewan Budaya USM, Nur Liyana Che Mohammad mendapat sambutan yang amat baik daripada pelajar Rajabhat apabila lebih 20 orang telah mengikuti bengkel tersebut dan 7 orang telah terpilih untuk membuat persembahan bersama kakitangan Dewan Budaya.

Bengkel Tarian Joget Inang juga mendapat perhatian pelajar Rajabhat apabila 6 orang pelajar Thailand telah berjaya mengikuti bengkel tersebut sehingga ke akhir dengan membuat persembahan pada malam kebudayaan.

WhatsApp Image 2023 09 19 at 17.15.31 3

Pertukaran budaya berlaku apabila pelajar daripada USM juga berjaya mengikuti bengkel tarian tradisional Thailand iaitu Tarian Menora dan Tarian Ronggeng, malahan mereka juga turut berjaya membuat persembahan penuh pada malam itu.

Selain itu, diselitkan juga pertukaran budaya muzik tradisional melalui bengkel muzik tradisional Malaysia yang diketuai oleh Adiguru Che Mat Jusoh dan dibantu oleh barisan artis budaya dari Dewan Budaya. Antara intipati bengkel adalah seni Muzik Asli dengan bawaan lagu Kain Songket, Siti Payung dan Mengulik.

WhatsApp Image 2023 09 19 at 17.15.31 2

Para peserta bukan sahaja mendapat peluang untuk belajar bermain alat muzik tradisional Malaysia, malah mereka juga telah berlatih menyanyikan lagu-lagu tradisional Malaysia.

Sebagai pertukaran, artis budaya USM telah mengikuti bengkel Muzik Menora dan turut serta dalam membuat persembahan pada malam kebudayaan.

Bengkel seni pertahanan diri iaitu Silat Semerap dan Cerita turut disertai oleh 6 orang pelajar Rajabhat dan 2 orang pelajar USM yang melangsungkan persembahan sebagai persembahan pembukaan daripada pihak USM.

Persembahan malam kebudayaan bukan sahaja merangkumi persembahan daripada hasil-hasil bengkel yang telah dijalankan, malahan pihak Universiti Rajabhat turut menyediakan beberapa persembahan tambahan seperti Muzik Tradisional Thailand semasa majlis pembukaan dan Tari Dikey Hulu yang sepenuhnya dipersembahkan oleh pelajar daripada Fakulti Seni Halus Universiti Rajabhat.

Pihak Dewan Budaya USM juga telah menyajikan persembahan tambahan iaitu Tarian Sumazau yang merupakan tarian tradisi rakyat Sabah dan nyanyian lagu Thailand Sabai Sabai.

Bersempena dengan meraikan hari kemerdekaan Malaysia kali ke-66, Pegawai Kebudayaan Dewan Budaya USM, Andy Siti Nurhidayah telah mendendangkan lagu Tanah Pusaka sebagai persembahan penutup untuk nyanyian dan diikuti persembahan daripada Dekan Fakulti Seni Halus Universiti Rajabhat, Weerasak yang mempersembahkan dan menyerlahkan bakatnya dalam bermain trumpet dengan bawaan lagu Getaran Jiwa oleh P. Ramlee.

WhatsApp Image 2023 09 19 at 17.15.31

Malam kebudayaan tersebut ditutup dengan persembahan Tarian Joget Pahang dan Tarian Ronggeng hasil daripada gabungan semua penari dari USM dan Universiti Rajabhat.

Program pertukaran budaya ini kemudiannya diteruskan lagi dengan lawatan kerja berkaitan pengurusan persembahan serta lawatan sekitar kampus Universiti Rajabhat.

Dalam usaha untuk membina jaringan dan kerjasama lanjut, perbincangan tentang Memorandum Persefahaman (MoU) telah diadakan antara Dewan Budaya USM bersama Fakulti Seni Halus Universiti Rajabhat.

Kolaborasi ini bukan sahaja telah melestarikan dan mengangkat kesenian tradisional negara Malaysia dan Thailand, malahan pengenalan budaya yang telah berlangsung ini telah memberikan peluang kepada pelajar dan kakitangan daripada kedua-dua negara untuk mempelajari kesenian tradisional negara luar yang boleh diwarisi dan diteruskan sehingga ke masa hadapan.

Teks dan foto: Dewan Budaya USM/Suntingan: Nur Farrah Ezlin dan Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 742

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024