USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PIPPA USM LATIH PESERTA PELBAGAI AGENSI RANGKA PELAN TRANSFORMASI ORGANISASI GUNA KAEDAH TUBE  

PULAU PINANG, 19 September 2023 – Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA), Universiti Sains Malaysia (USM) memperluas program latihannya, khusus bagi membantu peserta dalam merangka pelan transformasi menggunakan kaedah Transformasi Organisasi melalui Tadbir Urus Bersepadu (TUBE).

DMA2

Pengarah dan Pengasas PIPPA, Dato’ Dr. Musa Ali berkata, program latihan yang dijalankan turut berperanan dalam memberi pemahaman kepada organisasi mengenai keperluan dan kepentingan proses transformasi serta mengenal pasti elemen penting dalam melaksanakannya.

DMA1

“Untuk kekal relevan dan berdaya saing, setiap organisasi tidak dapat mengelak daripada melakukan transformasi, namun yang menjadi isunya adalah bagaimana cara menterjemahkan hala tuju organisasi ke dalam bentuk strategi dan tindakan,” ujarnya.

Justeru katanya, program latihan yang ditawarkan PIPPA itu dirangka khusus bagi membantu para peserta untuk lebih memahami strategi organisasi, sekaligus menjayakan matlamat membangunkan pelan transformasi.

“Kandungan program latihan merangkumi beberapa fokus utama termasuk kerangka khusus pendekatan teknik TUBE, organisasi dan tuntutan perubahan+model perubahan, elemen ‘High-Tech’ dan ‘High-Touch’ dari dimensi TUBE dan mengaplikasikan teknik dalam merangka pelan tindakan peringkat organisasi dan individu,” jelas beliau.

DMA4

PIPPA baru sahaja selesai mengendalikan dua program latihan TUBE pada minggu pertama September 2023. Kumpulan pertama untuk 34 peserta dari 16 agensi dan yang kedua, program Selangor Leadership Catalyst (SELECT) yang melibatkan 38 peserta.

Majlis penutup dan penyampaian sijil bagi kumpulan pertama telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Sabah, Datuk Zainudin Aman, manakala Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato' Haris Kasim hadir pada majlis penutupan dan penyampaian sijil untuk program SELECT.

Kedua-dua program latihan berkenaan dijalankan dengan kerjasama Pejabat Wali kota Bandung, Indonesia yang mana peserta  turut dibawa melawat Bandung Command Centre dan juga mendengar taklimat tentang proses transformasi Bandung sebagai bandar pintar (smart city).

WhatsApp Image 2023 09 19 at 15.49.11

“Proses transformasi bandar pintar ini menarik untuk dipelajari dan boleh diaplikasikan serta dikembangkan di tanah air. Aspek integrasi data adalah salah satu cabang yang boleh dijadikan penanda aras untuk dipelajari dan dipraktikkan,” katanya sambil menyatakan terima kasih atas kerjasama Kota Bandung yang telah terjalin sejak 2014 lagi.

DMA3

“PIPPA amat berterima kasih dengan sokongan dan komitmen yang telah dizahirkan oleh rakan strategik di Bandung ini, terutamanya dari Sekretaris Dinas Komunikasi dan Informatika (Diskominfo) Kota Bandung iaitu Bapak Yayan Brilyana dan Bapak Darto AP,” ujarnya lanjut.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: PIPPA USM 

  • Created on .
  • Hits: 480

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024