JABATAN ANAESTHESIA DAN JABATAN PEDIATRIK ANJUR SEMINAR PENJAGAAN PALIATIF PEDIATRIK
KUBANG KERIAN, 18 Mei 2015 - Menyedari kepentingan penjagaan Paliatif Pediatrik (Palliative Care) yang menawarkan rawatan serta sokongan untuk pesakit dan keluarga, Jabatan Anaesthesia Hospital USM dengan kerjasama Jabatan Pediatrik menganjurkan seminar “Practical Approach to Pain in Paediatric Palliative Care: Living Life to the Full” di sini.
Seminar tersebut dihadiri seramai 100 peserta terdiri daripada Pegawai Perubatan dan Paramedik dengan penceramah jemputan daripada Hospice and Pain Specialist, Pintung Christian Hospital, Taiwan, Dr. Neoh Choo Aun.
Ahli Jawatankuasa penganjur, Dr. Shyamala Kumar, seminar ini memberi fokus kepada peserta bagi menambah pengetahuan mengenai penjagaan dan rawatan pesakit paliatif untuk kanak-kanak (Paediatric Palliative Care) dan mengajar cara alternatif bagi meningkatkan mutu hidup pesakit paliatif di hospital dan rumah.
“Pesakit paliatif sering dikaitkan dengan penghidap penyakit yang boleh membawa maut serta dengan adanya penjagaan yang baik pesakit mampu menjadikan sisa-sisa kehidupan itu lebih tenang dan bermakna dengan menitikberatkan kepada sokongan oleh ibu bapa dan keluarga pesakit kerana mereka mungkin berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tekanan semasa menjaga pesakit,” katanya.
Menurut Shyamala lagi, melalui seminar tersebut para peserta ditunjukkan oleh Dr. Neoh Choo Aun demonstrasi mengenai cara untuk mengurut pesakit penjagaan paliatif pediatrik.
“Melalui penjagaan paliatif, pesakit akan mendapat rawatan secara keseluruhan kerana ia bukan sahaja mengenalpasti dan merawat masalah-masalah fizikal (seperti kesakitan), tetapi juga memberi sokongan psikologi, emosi dan rohani kepada pesakit dan keluarga,” tambahnya lagi. - Teks/Foto: Wan Salizawati Wan Ismail
- Created on .
- Hits: 1190