USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IPPT USM DAN BUDDHIST TZU-CHI MERITS SOCIETY MALAYSIA METERAI MoA, BANTU PERKASA PENCAPAIAN AKADEMIK MURID B40

WhatsApp Image 2023 09 17 at 11.39.21 AM

USM PULAU PINANG, 15 September 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) baru-baru ini memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan Buddhist Tzu-Chi Merits Society Malaysia dalam usaha memperkukuh kerjasama untuk memperkasa pencapaian akademik pelajar B40.

Majlis penandatanganan MoA tersebut menyaksikan Pengarah IPPT dan Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB), Profesor Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin yang mewakili Naib Canselor USM dan Naib Presiden Buddhist Tzu-Chi Merits Society Malaysia, Datuk Simon Wong Woon Keong menurunkan tandatangan pada dokumen MoA bagi mewakili institusi masing-masing.

WhatsApp Image 2023 09 17 at 11.43.43 AM

Menerusi perjanjian kerjasama tersebut, kedua-dua pihak akan berganding bahu membantu murid-murid sekolah dari kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka terutama bagi memperoleh sijil SPM melalui inisiatif program khidmat masyarakat yang berbentuk kelas bimbingan secara perseorangan (one to one) atau kumpulan kecil (small group).

Tunku Kamarul dalam ucapannya berkata, USM amat menyokong program berbentuk khidmat masyarakat sebegini kerana ia selaras dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs) yang termasuk dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (2021-2025).

“Sesungguhnya usaha murni khidmat masyarakat ini secara tidak langsung menyumbang kepada SDG negara iaitu SDG 1 (Sifar Kemiskinan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), dan juga SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat),” katanya.

Tunku Kamarul turut menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada pasukan pendidik USM, Buddhist Tzu-Chi Merits Society dan guru-guru sekolah yang terbabit dengan program khidmat masyarakat ini.

WhatsApp Image 2023 09 17 at 11.41.56 AM

Untuk rekod, program perintis khidmat masyarakat itu telah dimulakan pada bulan Jun 2019 di kawasan Padang Tembak dengan penglibatan hanya empat (4) pelajar daripada USM dan enam (6) murid dari kawasan Padang Tembak, yang mana program ini telah memberikan manfaat dan impak yang besar kepada murid-murid dan keluarga tanpa mengira bangsa dan agama.  

Pada tahun 2022, program khidmat masyarakat tersebut diperluaskan kerjasamanya dengan SMK Bagan Jaya di Butterworth untuk memberi sokongan kepada pelajar tingkatan lima dari ‘kelas belakang’ dalam usaha untuk meningkatkan prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

Lebih 50 murid telah mengambil bahagian dalam program itu, dan keputusan peperiksaan SPM 2022 menunjukkan bahawa dalam kalangan golongan pelajar ‘kelas belakang’, lebih 30 pelajar telah berjaya mendapat sijil SPM.

Semenjak program perintis itu diadakan, jumlah murid yang menyertai program telah meningkat kepada tiga ratus (300) orang dari pelbagai sekolah rendah dan menengah di sekitar Pulau Pinang.

Program tersebut juga memberi peluang kepada lebih 120 pelajar dan graduan USM untuk mendaftar sebagai tutor (Education Ambassador) untuk menyumbang bakti secara sukarela dan memainkan peranan penting dalam memberikan pengajaran dan bimbingan yang berkualiti kepada murid-murid yang lemah dari kalangan keluarga golongan B40.

Sehingga ini, pihak Buddhist Tzu-Chi Merits Society Malaysia telah menyumbang sejumlah RM20,000 untuk menjayakan program itu.

Untuk itu, Tunku Kamarul merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Buddhist Tzu-Chi Merits Society Malaysia kerana memberi bantuan kewangan kepada pelajar dan graduan USM yang mengambil bahagian dalam program khidmat masyarakat ini. 

“Dengan adanya elaun ini, ianya turut membantu golongan pelajar B40 di USM yang memerlukan bantuan kewangan, sambil memberikan peluang kepada pelajar USM menjadi sukarelawan untuk berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.  

Beliau berharap pihak Buddhist Tzu-Chi Merits Society Malaysia dapat terus memberi sokongan kewangan kepada projek ini pada masa akan datang bagi meluaskan lagi program khidmat masyarakat ini supaya dapat melahirkan lebih ramai modal insan negara yang berdaya saing dan membangunkan negara Malaysia tercinta ini.

Sementara itu, Simon Wong amat bersyukur kerana pihaknya berpeluang bekerjasama dengan lebih rapat lagi dengan IPPT USM melalui MoA yang termeterai ini terutamanya dalam membantu memperkasakan pencapaian akademik murid-murid sekolah dari keluarga B40.

“Menerusi analisis yang dibuat menunjukkan terdapat peningkatan dalam pencapaian akademik murid-murid yang terlibat dan ini adalah suatu hasil yang amat memberangsangkan.

WhatsApp Image 2023 09 17 at 11.42.44 AM

“Ini membuktikan bahawa pelajar yang menghadapi kesukaran dalam pembelajaran dapat diperkembangkan dan dipertingkatkan minat dan keyakinan mereka dalam pembelajaran, menguasai mata pelajaran penting seperti Matemertik, Bahasa Melayu, dan Bahasa Inggeris serta mencegah mereka dari tercicir daripada sistem pendidikan negara,” katanya.

Hadir sama dalam majlis adalah kumpulan penyelidik program ini yang diketuai Prof. Madya Dr. Ying Chee Kiat; pengurusan tertinggi IPPT dan PPUSMB; dan delegasi Buddhist Tzu-Chi Merits Society Malaysia.

Turut hadir adalah Pengetua dan Penolong Pengetua sekolah-sekolah yang menjadi rakan kolaborasi program berkenaan.  

Teks: Naziroh Shafii & Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 300

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024