KARYAWAN TAMU PUSAT PENGAJIAN SENI USM TERIMA ANUGERAH TOKOH SENI BUDAYA NEGERI PULAU PINANG 2023
PULAU PINANG, 15 September 2023 – Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Che Mat Jusoh, Adiguru Makyung, Wayang Kulit dan Gamelan yang juga merupakan Karyawan Tamu Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) kerana telah diangkat sebagai Tokoh Seni Budaya Negeri Pulau Pinang 2023 pada malam Anugerah Seni Budaya Negeri Pulau Pinang 2023, anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Pulau Pinang, baru-baru ini.
Beliau menerima anugerah tertinggi Tokoh Seni Budaya Negeri Pulau Pinang 2023 dalam bidang Seni Muzik Tradisional.
Penghargaan tersebut merupakan sebahagian usaha dalam mencapai aspirasi negara untuk mengangkat aset-aset warisan seni budaya yang bersesuaian melalui pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Usaha ini adalah penting untuk memastikan kesinambungan, keunikan dan keaslian yang diwarisi agar terus terpelihara selaras dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN).
Penghargaan tersebut adalah bukti kepada kecemerlangan dan komitmen tinggi Che Mat Jusoh dalam memperkaya dan mempromosikan seni dan budaya negara, dan ianya pengiktirafan yang sangat layak atas hasil kerja keras serta dedikasi yang telah ditunjukkan oleh beliau.
Diharapkan agar pencapaian tersebut dapat menjadi inspirasi untuk semua anggota Pusat Pengajian Seni USM untuk terus berkarya dengan penuh semangat dan semakin berjaya dalam mewujudkan pencapaian luar biasa dalam bidang seni dan budaya.
Sebanyak 9 kategori ditawarkan iaitu Anugerah Tokoh Seni Budaya Negeri Pulau Pinang 2023, Anugerah Pendukung Seni (NGO), Anugerah Pendukung Seni (Media), Anugerah Penggerak Budaya, Anugerah Ikon Cilik, Anugerah Perintis Seni Budaya, Anugerah Seni Lestari, Anugerah Seni Citra dan Anugerah Seni Citra Karisma.
JKKN Pulau Pinang telah menerima 60 pencalonan pelbagai kategori, dan kategori Tokoh Seni Budaya Negeri Pulau Pinang 2023 merupakan Anugerah tertinggi.
Sekalung tahniah diucapkan sekali lagi kepada Che Mat Jusoh atas penerimaan anugerah dalam bidang seni budaya tersebut.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi
- Created on .
- Hits: 341