USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NAIB CANSELOR SERU WARGA USM SAMBUT HARI MALAYSIA DENGAN PENUH BERSATU HATI

IMG 20230915 WA0018

USM PULAU PINANG, 16 September 2023 – Seluruh warga Universiti Sains Malaysia (USM) diseru untuk sentiasa bersatu hati bagi memperkukuhkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan warga USM sempena Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.

Demikian ujar Naib Canselor USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang menyeru agar semua warga USM untuk terus kekal bersatu dalam membangunkan menara ilmu tercinta ini, dan pada masa yang sama perlulah sentiasa mengekalkan ikatan perpaduan antara kaum yang telah wujud sekian lama di negara kita.

“Seperti yang kita sedia maklum, perpaduan adalah kekuatan asas kita sebagai rakyat dan sebagai sebuah negara yang merdeka. Semua ini dapat dicapai kerana kita saling mempercayai dan saling menghormati, walaupun kita berbeza, kita tetap teguh bersama,” ulas lanjut Naib Canselor.

MALAYSIA Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan' dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, yang mana tema itu selari dengan tekad dan komitmen kerajaan untuk membangunkan sebuah negara dengan rakyatnya yang bersatu padu, memiliki semangat perpaduan tinggi serta hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.

Sambutan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun adalah sebagai memperingati usaha ke arah pembentukan Malaysia yang tidak datang bergolek dalam sekelip mata.

Sebaliknya ia adalah hasil perjuangan rakyat dan pemimpin kita terdahulu yang mahu melihat lahirnya sebuah negara Malaysia yang merdeka dan bersatu-padu.

“Hal ini juga perlu dipupuk dalam kalangan seluruh warga USM yang seharusnya memikul tanggungjawab dalam melaksanakan tugas dengan penuh ikhlas, telus dan berintegriti untuk membangunkan menara ilmu ini demi negara tercinta,” katanya lagi.

Naib Canselor mengucapkan selamat menyambut Hari Malaysia 2023 kepada semua warga USM dalam kalangan pelajar mahupun stafnya serta juga para alumninya.

Naib Canselor turut mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pergorbanan yang dicurahkan oleh setiap warga universiti dalam bersama-sama melonjakkan nama USM di persada dunia.

Text: Siti Fatimah Abu Mansor/Infographic: Mohamad Zaidi Jailani 

  • Created on .
  • Hits: 258

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024