59 PELATIH SUKSIS USM DIRAIKAN DALAM MAJLIS TAMAT LATIHAN KALI KE-19
UNiSZA TERENGGANU, 9 September 2023 – Seramai 59 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa dan Siswi (Kor SUKSIS) Universiti Sains Malaysia (USM) telah diraikan di Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa Siswi Universiti Awam (UA) kali ke-19 tahun 2023 di Padang Kawad Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA), Gong Badak, Terengganu baru-baru ini.
Majlis disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), YDH Dato' Sri Aidi Ismail, yang mewakili YDH Ketua Polis Negara.
Majlis berkenaan bermula dengan Perbarisan Tamat Latihan yang turut disertai seramai 713 pelatih daripada 14 UA.
Berucap dalam majlis tersebut, Aidi Ismail berharap agar segala ilmu dan latihan yang diberikan dapat membentuk jati diri graduan dengan memiliki kemahiran insaniah yang tinggi serta menjadi pemimpin yang berkaliber.
“Saya juga berharap pegawai-pegawai Kor SUKSIS dapat menceburkan diri dalam dunia kepolisan dengan memohon sebagai pegawai polis kelak,” katanya.
Pada majlis berkenaan juga, tiga orang Pelatih Kor SUKSIS USM telah menerima anugerah sebagai Pelatih Terbaik Akademik iaitu Inspektor Kor SUKSIS Siti Nor Aishah Abdul Wahab; Pelatih Terbaik Latihan Luar, Inspektor Kor SUKSIS Nor Afandi Alias; dan Pelatih Terbaik Keseluruhan dianugerahkan kepada Inspektor Kor SUKSIS Muhammad Izz Syahmi Nazarudin.
Turut serta dalam majlis ini adalah pegawai-pegawai Kehormat Kor SUKSIS USM; Superintenden Kor SUKSIS Profesor Madya Dr. Nazarudin Zainun mewakili Komandan Kor SUKSIS; Asisten Komisioner Polis Kor SUKSIS Dr. Ahmad Zulman Mohd Zain; Asisten Komisioner Polis Kor SUKSIS Profesor Madya Dr. Nur Haida Kaus; dan pegawai penyelaras SUKSIS USM, Asisten Komisioner Polis Wan Nurshakirin Wan Mansor.
Teks: Dr. Ahmad Zulman Mohd Zain
- Created on .
- Hits: 708