JURURAWAT PERLU BERSIFAT DINAMIK
KUBANG KERIAN, 18 Mei 2015 - Seiring dengan kemajuan teknologi yang semakin canggih dan bidang perubatan yang sentiasa berkembang, jururawat perlu mengadaptasi diri mereka agar mampu bersaing pada masa hadapan yang bertepatan dengan tema Sambutan Hari Jururawat 'Nurse: A Force For Change: Care Effective, Cost Effective'.
Demikian kata Pro Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Datuk Mustafa Mansur merasmikan Sambutan Hari Jururawat Peringkat Hospital USM yang diadakan pagi ini, di Auditorium Pentadbiran Hospital USM.
Tambah Mustafa, dalam memenuhi piawaian sebuah negara maju, setiap jururawat perlu bersedia melakukan penambahbaikan serta peningkatan dalam pembangunan kerjaya selaras dengan era globalisasi.
"Bagi mencapai hasrat ini, mereka perlu mempunyai pengetahuan yang luas dan bersikap sentiasa ingin berusaha meningkatkan ilmu dalam memainkan peranan dengan cekap dan berkesan kerana dengan usaha sedemikian, akan memberikan nilai tambah kepada usaha yang dibuat bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga untuk institusi dan masyarakat seluruhnya," katanya.
Majlis turut diserikan dengan paluan gendang cina, bacaan ikrar dan persembahan kumpulan koir oleh Kumpulan Koir Unit Kejururawatan Hospital USM.
Turut hadir adalah Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato’ Dr. Marfauzy Mohamed, Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Profesor Madya Dr. Adam Husein dan Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Ahmad Zakaria. - Teks: Mohd Hafiz Yaacob & Muhd Zulkifli Zakaria/Foto: Wan Ahmad Nizamuddin Wan Mohd Sukri
- Created on .
- Hits: 1086