USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USAINS PENANG HILL CHARITY RUN TARIK 1,000 PESERTA; BERI TUMPUAN KEPADA KESEDARAN KESIHATAN MENTAL

WhatsApp Image 2023 09 11 at 7.36.50 PM 1

BUKIT BENDERA, PULAU PINANG, 11 September 2023 – Buat pertama kalinya sejak lebih 25 tahun dalam industri, USAINS Holding Sdn. Bhd. buat julung kalinya menganjurkan larian amal USAINS Penang Hill Charity Run 2023, yang mana ia menarik penyertaan lebih 1,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk si cilik.

Larian amal berkenaan berperanan dalam meningkatkan kesedaran kesihatan mental, satu isu yang cukup penting namun sering menghadapi stigma dan diskriminasi dalam kalangan masyarakat.

WhatsApp Image 2023 09 11 at 7.36.51 PM

Sehubungan dengan itu, matlamat utama penganjuran larian berkenaan adalah untuk mendidik, menghapuskan stigma, menggalakkan kesejahteraan penjagaan diri dan menyediakan sokongan untuk kesihatan mental.

Pengerusi USAINS Holding Sdn. Bhd., Datuk Hafsah Hashim berkata, melalui larian amal itu juga, USAINS turut menjalin kolaborasi dengan Minden 11800, sebuah ruang pembelajaran unik dan tempat perlindungan kucing yang terletak dalam kampus induk Universiti Sains Malaysia (USM).

“Tempat ini menawarkan persekitaran yang tenang kepada pelajar untuk mengurangkan tekanan dan memberi tumpuan kepada mencapai keseimbangan mental yang sihat.

“Di Minden 11800, terapi kucing berfungsi sebagai mekanisme penanganan yang penting untuk membantu pelajar menguruskan tekanan dan praktis penjagaan mental,” ujar beliau sambil memberitahu, sebahagian daripada hasil yang dijana melalui larian itu akan disumbangkan semula ke tempat perlindungan kucing itu.

Beliau dalam pada itu menambah, dengan pengalaman lebih 25 tahun dalam industri ini, USAINS sentiasa memberikan sokongan padu kepada USM dan berazam untuk memberi sokongan penuh kepada universiti dengan apa cara yang termampu. 

Katanya, pihaknya amat teruja dengan sokongan padu oleh para peserta yang berdaftar, termasuk kakitangan, pelajar, dan komuniti, semua bersatu dalam memberikan sokongan mereka terhadap misi USAINS untuk memupuk kesedaran dan mendidik masyarakat mengenai kesedaran kesihatan mental.

WhatsApp Image 2023 09 11 at 7.36.50 PM

Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat USAINS, Farid Wajidi pula berkata, "Kami berjanji untuk menangani stereotaip, memerangi diskriminasi, dan memupuk persekitaran empati dan sokongan.

“Larian ini juga berfungsi sebagai peluang bagi peserta untuk bersantai dan mengembalikan keseimbangan mental mereka sambil menikmati keindahan pemandangan Bukit Bendera,” ujar beliau.

USAINS Penang Hill Charity Run 2023 turut mendapat sokongan besar dengan Berocca sebagai penaja utama. Selain itu, pihak lain yang turut serta dalam usaha murni ini termasuk Majlis Syarikat Induk IPTA Malaysia (MSIM), Silicon Island Development, YouTech Sdn. Bhd, Doupharma Biotech, Himalaya Sports, Leong Bee & Soo Bee Sdn. Bhd, dan Penang Hill Corporation sebagai penaja lokasi untuk larian.

Sokongan yang mendalam ini mencerminkan komitmen bersama rakan industri USAINS kepada satu tujuan yang mulia.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 225

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024