PPSK USM BANTU MAHIRKAN WARGA EMAS MENGGUNAKAN TEKNOLOGI DIGITAL
USM PULAU PINANG, 8 September 2023 – Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang (JKMNPP) menjayakan Program Citra Minda Intergenerasi bagi peringkat negeri Pulau Pinang.
Berlangsung pada 16 Ogos 2023 yang lalu, tema program tersebut adalah Bonding Fit Fun: Intergenerasi Digital yang mengetengahkan pendekatan persahabatan antara generasi muda dan warga emas untuk membantu memperkasakan kemahiran digital dalam kalangan warga emas.
Bertempat di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Bertam, program berkenaan merupakan inisiatif daripada beberapa orang pensyarah dan staf USM untuk menyumbang kepakaran bidang masing-masing dalam penyertaan komuniti selari dengan agenda APEX USM.
Program tersebut melibatkan seramai 70 orang warga emas dari Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di seluruh Pulau Pinang dan 30 orang pelajar USM daripada pelbagai pusat pengajian.
Menurut Ketua Perunding program, pensyarah Sosiologi Persahabatan Bahagian Antropologi dan Sosiologi PPSK USM, Dr. Nur Hafeeza Ahmad Pazil, pendekatan persahabatan intergenerasi yang diterapkan dalam program ini adalah untuk meningkatkan kemahiran dan keyakinan warga emas untuk menggunakan telefon pintar dan aplikasi digital dengan bantuan generasi muda.
“Menerusi aktiviti yang dijalankan seperti Kenali Smartphone Anda, media sosial dan E-Wallet, ianya dapat memudahkan warga emas dan generasi muda untuk berinteraksi, saling bantu membantu dan mengenali antara satu sama lain,” katanya.
Tambah Hafeeza, melalui aktiviti-aktiviti seperti ini, warga emas berpeluang untuk mempelajari kaedah penghasilan gambar dan video, menggunakan fungsi-fungsi Whatsapp dan mempelajari cara membuat pemindahan dan penerimaan wang menerusi aplikasi Touch n’ Go e-wallet.
Sementara itu, pensyarah Bahagian Kerja Sosial PPSK USM, Dr. Masarah Mohamad Yusof berkata, tema program pada tahun ini yang memfokuskan konsep digital dilihat sangat membantu dan menarik minat golongan warga emas untuk mengenali dunia digital menerusi aplikasi penggunaan telefon pintar daripada pelbagai dimensi.
“Pelaksanaan program yang berteraskan konsep intergenerasi ini sangat relevan dengan keperluan masa kini, yang mana ia dapat meningkatkan hubungan interaksi positif khususnya antara golongan belia yang terdiri daripada para pelajar dan pensyarah dengan golongan warga emas ke arah mencapai penuaan yang sihat. Selain itu, program ini juga mendapat sambutan baik menerusi penyertaan para pelajar dari dalam dan luar PPSK,” kata Masarah.
Pensyarah Bahagian Kerja Sosial PPSK USM, Dr. Farhana Kamarul Baharin pula berkata, pergaulan intergenerasi antara golongan belia dan warga emas memberi kebaikan, yang mana para peserta berpeluang untuk berkomunikasi, bertukar pendapat dan berkongsi ilmu.
“Penyertaan pelajar USM dalam program seperti ini dapat membantu warga emas untuk menambah pengetahuan dan pemahaman di dalam penggunaan aplikasi digital.
“Saya yakin melalui program seperti ini dapat memastikan penuaan aktif dalam kalangan warga emas di Malaysia sebagai salah satu medium untuk memastikan kesejahteraan hidup golongan ini berada di tahap yang baik,” katanya.
Pihak PPSK USM ingin merakamkan penghargaan kepada JKMNPP atas projek perundingan ini dan berharap lebih banyak program berteraskan persahabatan intergenerasi untuk mencapai penuaan aktif dapat dijalankan pada masa akan datang.
Teks dan Foto: Dr. Nur Hafeeza Ahmad Pazil/Suntingan: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi
- Created on .
- Hits: 768