USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-MINDRAY SONOSCHOOL: SUMBANGAN RM1 JUTA PERKUKUH KEMAHIRAN POCUS PELAJAR DAN PENGAMAL PERUBATAN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 September 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima empat mesin ultrasound yang bernilai hampir RM1 juta daripada syarikat Mindray yang berpusat di China melalui syarikat Infinity Medical Sdn. Bhd. (pengedar mesin ultrasound dalam negara) bagi kegunaan pengajaran dan pembelajaran di USM-Mindray Sonoschool di Kampus Kesihatan USM.

f3c9409e 6365 498d b63b 46b2936931ca

Sumbangan tersebut termasuk kos membaik pulih bilik ultrasound di Jabatan Perubatan Kecemasan, yang mana mesin-mesin ultrasound berkenaan akan ditempatkan.

Projek USM-Mindray Sonoschool merupakan projek kerjasama antara Mindray dengan USM berdasarkan Memorandum Perjanjian (MoA) yang telah dimeterai pada tahun 2021.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin berkata, USM-Mindray Sonoschool dibangunkan untuk memberi latihan pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar Program Doktor Perubatan, Sarjana Perubatan dan subkepakaran berkaitan ultrasound seiring dengan perkembangan teknologi ultrasound terkini dan tercanggih seperti yang disumbangkan oleh Mindray.

“Dengan adanya kemudahan peralatan mesin ultrasound ini, ia sedikit sebanyak membantu para pelajar memasuki era baharu pembelajaran perubatan.

9e6568c3 a756 4c0e bdac 5f722f69219a

“USM juga merupakan perintis yang memperkenalkan kurikulum berstruktur untuk ‘point of care ultrasound’ (POCUS) bagi memastikan kemahiran pemeriksaan ultrasound dalam kalangan pakar dan pegawai perubatan berada pada tahap kompetensi yang optimum.

“Sehingga kini, USM telah melatih hampir 300 pelajar Sarjana Perubatan (Perubatan Kecemasan) yang mempunyai kemahiran dalam bidang POCUS,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian USM-Mindray Sonoschool, hari ini.

542b7cc6 8251 4c29 b184 4e12c205b9ed

Tambah Shaharum, USM turut mendedahkan bidang POCUS kepada pelajar Doktor Perubatan tahun lima (5) sejak tahun 2017 lagi terutamanya berkaitan Penilaian Berfokus Sonografi dalam Trauma (FAST).

“Bermula tahun ini, USM mengorak langkah dengan memperkenalkan POCUS sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran untuk pelajar Doktor Perubatan tahun empat (4) dan USM merupakan universiti pertama dalam negara yang melaksanakan sukatan pelajaran tersebut.

6c949385 0754 46f3 ad0d 436247d0c2d9

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pasukan POCUS USM juga telah menyumbang secara aktif kepada latihan POCUS di dalam dan luar negara selain menjalankan penyelidikan dan mengambil bahagian dalam ‘World Interactive Network Focused On Critical Ultrasound’ (WINFOCUS) yang merupakan komuniti POCUS terbesar di seluruh dunia,” jelasnya lagi.

Menurut Shaharum, bidang POCUS telah berkembang pesat dan dipraktikkan di seluruh dunia.

ae2453e0 19ce 4264 b6cd 7b63ba9ddaf1

“Kewujudan USM-Mindray Sonoschool ini diharap dapat membantu Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM menghasilkan graduan yang kompetitif dan berkualiti.

“USM-Mindray Sonoschool ini di bawah kelolaan Profesor Madya Dr. Shaik Farid Abdull Wahab yang juga merupakan Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Kecemasan USM dan Profesor Madya Dr. Mohd Hashairi Fauzi, Pakar Perubatan Kecemasan merangkap Penyelaras Pusat Integrasi Simulasi Klinikal, PPSP USM,” ujarnya.

Shaharum turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Mindray serta Infinity Medical Sdn. Bhd. atas sumbangan yang cukup besar kepada USM dan berharap sumbangan itu dimanfaatkan sepenuhnya.

Sementara itu, dalam majlis yang sama turut berlangsung pelancaran buku POCUS pertama terbitan Penerbit USM.

Buku tersebut merakamkan pencapaian penting dalam bidang POCUS selain menyediakan panduan yang komprehensif bagi pakar dan pegawai perubatan menggunakan mesin ultrasound dalam menjalankan proses ultrasound di tempat pesakit berada atau ‘point of care’ serta membantu mendapatkan diagnosis dan rawatan yang lebih tepat.

4f11ba08 3ee2 451c 832c 71c264bb033b

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Antarabangsa, Mindray, Kurt Xie; Pengarah Urusan Infinity Medical Sdn. Bhd., Ng Yoong Duong; Dekan PPSP, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman; Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail; Timbalan-timbalan Dekan PPSP, Timbalan-timbalan Pengarah Hospital USM dan Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Profesor Madya Dr. Shaik Farid Abdull Wahab.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman 

  • Created on .
  • Hits: 476

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024