PELAJAR USM BANTU TANGANI GEJALA SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA
KOTA BHARU, 17 Mei 2015 - Sukarelawan IM4U yang terdiri daripada pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan yang menghadiri Seminar Pendidikan Kesihatan Reproduktif Remaja dan Sosial yang dikelolakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini diminta turut membantu menangani isu gejala sosial dalam kalangan remaja.
Seminar ini berfokuskan kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh remaja seperti masalah seksualiti, penyakit-penyakit jangkitan (STD) atau Sexual Transmitted Diseases dan sebagainya.
Menurut Pegawai LPPKN Wilayah Timur, Kamariah binti Said, saban waktu pelbagai laporan negatif membabitkan remaja cukup membimbangkan seperti kes hamil luar nikah, buang anak, ketagihan dadah dan lumba haram dalam usia yang muda dalam mengenal erti kehidupan, kerana itu LPPKN diminta menggariskan langkah pencegahan untuk mengatasi masalah ini daripada terus merebak kepada remaja.
“Seminar seperti ini memberi peluang kepada peserta menjadi duta yang dapat menyalurkan maklumat yang tepat kepada remaja yang menghadapi masalah apatah lagi dengan penglibatan mahasiswa dalam membantu proses pertumbuhan dan pembinaan individu yang sihat sejahtera melalui pemupukan sikap dan nilai kesihatan reproduktif yang positif," kata Kamariah.
Pelajar USM Siti Nurshafiqah Khazini bt Mohd Rani berkata, pelbagai ilmu dapat diperolehi ketika menyertai seminar ini terutamanya kemahiran berkomunikasi dalam kalangan rakan sebaya untuk membantu remaja melalui khidmat nasihat serta penyaluran maklumat yang tepat.
"Saya berbangga menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat yang cakna dengan persekitaran sekeliling dalam menangani masalah sosial dalam kalangan rakan-rakan sebaya," katanya lagi. - Teks: Mohamad Iqmal Mathlan
- Created on .
- Hits: 1352