USM, UOF JALIN KERJASAMA AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN
USM PULAU PINANG, 6 September 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan agenda pengantarabangsaan dalam kerjasama akademik dan penyelidikan bersama University of Fujairah (UoF), Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di sini hari ini.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM yang mewakili Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat berkata, menerusi MoU itu USM dan UoF akan saling berkongsi kepakaran masing-masing melalui kolaborasi strategik bagi program akademik serta penyelidikan kedua-dua institusi.
“Kerjasama peringkat Asia ini memberi peluang dan ruang hubungan antarabangsa kepada pelajar USM dan UoF untuk terlibat dalam program mobiliti, latihan amali pelajar, program pertukaran staf, program penyelidikan bersama termasuk penganjuran bersama bengkel dan program latihan,” kata beliau ketika menghadiri majlis tersebut secara dalam talian di Bilik Mesyuarat Bahagian Akademik dan Antarabangsa, Bangunan Canselori USM.
Sementara itu, Canselor University of Fujairah (UoF), Profesor Dr. Ghassan Al-Qaimary berkata, kerjasama ini merupakan salah satu hasrat utama universiti tersebut untuk berkolaborasi dengan USM yang mempunyai reputasi tinggi di peringkat antarabangsa.
Ini adalah sejajar dengan hasrat UoF untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang berkualiti kepada pelajar mahupun staf berdasarkan keperluan semasa serta menyebarluaskan lagi disiplin pendidikan tinggi untuk manfaat kedua-dua universiti,” katanya.
Turut hadir ke majlis tersebut adalah Penyelaras Strategi Antarabangsa USM, Profesor Dr. Hazizan Md Akil; Dekan Kolej Komunikasi UoF, Profesor Mohamed Fyadh; Dekan Kolej Perniagaan UoF, Dr. Joseph Lutta; Dekan Kolej Teknologi Maklumat UoF, Dr. Sufian Alkhwaldeh; Ketua Program MoU USM-UoF, Enas K I Alquqa; dan Ketua Penolong Pendaftar, Bahagian Akademik dan Antarabangsa USM, Mohd Amirullah Zainal Abidin.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 422