USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ZILFALIL WAKIL TUNGGAL MALAYSIA DILANTIK SEBAGAI PENASIHAT WHO DALAM BIDANG GENOMIK

PULAU PINANG, 5 September 2023 – Profesor merangkap Pakar Perunding Kanan Kanak-Kanak dan Genetik Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Zilfalil Alwi baru-baru ini dilantik menganggotai World Health Organization (WHO) Technical Advisory Group on Genomics (TAG-G).

WhatsApp Image 2023 09 04 at 16.37.46 1

Pelantikan Zilfalil yang berkuatkuasa selama dua tahun bermula 24 Ogos lalu adalah pengiktirafan terbesar kepada negara kerana beliau satu-satunya wakil rakyat Malaysia daripada 15 orang yang dilantik dalam kumpulan penasihat kepada WHO dalam bidang genomik itu. 

WHO TAG-G merupakan Kumpulan Penasihat Teknikal dalam bidang genomik kepada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang baharu/pertama kali ditubuhkan, bertujuan untuk menyokong dan menyediakan panduan teknikal terhadap aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh Sekretariat WHO untuk melancarkan akses kepada teknologi genomik bagi manfaat kepada kesihatan global terutamanya dalam bidang genom manusia.

Dalam kapasiti penasihat itu juga, kumpulan berkenaan perlu menilai semula dan mencadangkan aktiviti-aktiviti keutamaan untuk dipertimbangkan oleh WHO bagi mempercepatkan akses kepada teknologi genomik bagi kesihatan global, termasuk promosi dan advokasi selain daripada aktiviti teknikal.

Menurut Zilfalil, ada beberapa peranan lain yang perlu dimainkan sebagai anggota kumpulan berkenaan dan ia berkisar kepada pembangunan bidang genomik.

“Kewujudan TAG-G akan memberikan pelbagai manfaat kepada masyarakat dan negara, yang mana TAG-G menyokong WHO dalam mempercepatkan akses kepada teknologi genomik untuk kesihatan global, khususnya pada genom manusia, melalui panduan teknikal dan sokongan.

“Ini akan melonjakkan lagi bidang genomik di seluruh dunia terutama dalam kalangan low- and middle-income countries (LMIC) yang mempunyai jurang perbezaan yang sangat ketara berbanding dengan high-income countries (HIC),” ujar beliau lanjut.

Zilfalil menambah, keanggotaan itu memberi impak yang signifikan kerana negara-negara LMIC akan mendapat akses kepada kepakaran dan pengetahuan terkini dalam bidang genomik. 

WhatsApp Image 2023 09 05 at 14.31.45 1

“Ia sekaligus membolehkan negara-negara ini meningkatkan keupayaan di dalam bidang penyelidikan dan perubatan berdasarkan genom, membuka peluang untuk mengenal pasti faktor risiko genetik bagi penyakit tertentu dan mewujudkan rawatan yang lebih personalisasi (personalize) dan berkesan,” katanya.

Beliau juga berkata, pendekatan yang diambil oleh TAG-G untuk menilai semula dan mencadangkan aktiviti-aktiviti keutamaan dalam melancarkan akses kepada teknologi genomik membolehkan negara kita termasuk juga negara di seluruh dunia mengambil langkah-langkah strategik dalam memajukan sektor kesihatan.

Ujar beliau, hal ini akan membantu negara kita menghadapi cabaran kesihatan yang semakin rumit dengan pendekatan yang lebih holistik dan terkini, dengan memastikan penyediaan rawatan dan penjagaan kesihatan yang lebih cekap dan tepat sasaran.

“Kemajuan dalam bidang genomik dalam kesihatan akan membuka peluang pekerjaan baharu, meningkatkan daya saing negara di peringkat global, dan seterusnya memberikan manfaat ekonomi kepada masyarakat sejagat,” ujarnya.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Pusat Pengajian Sains Perubatan 

  • Created on .
  • Hits: 346

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024