USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, OPPSTAR RINTIS PROGRAM SERAP-INDUSTRI (IIP), SELARI HASRAT KPT BANGUNKAN BAKAT BAWAH KERANGKA EKONOMI MADANI

PULAU PINANG, 4 September 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) bekerjasama rapat dengan rakan strategik industri, Oppstar Berhad dalam memperkenal program yang dikenali sebagai ‘Industry-Infused Program (IIP)’ atau 3U1I Apprenticeship, bertujuan untuk membangunkan bakat berkemahiran tinggi serta menepati permintaan pihak industri.

WhatsApp Image 2023 09 04 at 13.58.34

Pelaksanaan IIP juga dilihat selari dengan strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam salah satu daripada empat strategi yang menyokong dan menjayakan Ekonomi MADANI: Pendidikan Tinggi iaitu Penyediaan Bakat.

Penyediaan bakat merangkumi usaha melahirkan seramai mungkin bakat terbaik negara yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan pelabur dan masyarakat yang mahukan pekerjaan baik serta gaji lebih tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, USM telah dikenal pasti sebagai peneraju IIP yang memberi fokus kepada pembelajaran di universiti dan pendedahan praktikal industri, justeru memberi peluang kepada pelajar untuk meneruskan pekerjaan bersama industri dengan gaji premium apabila bergraduasi kelak.

WhatsApp Image 2023 09 04 at 13.58.33

“IIP ini juga menjadi model kepada universiti lain bagi diaplikasikan di dalam kurikulum mereka. IIP ini sangat membantu bakal graduan kejuruteraan dalam meningkatkan kemahiran sharp-skill dan smart-skill mereka sebelum bergraduasi,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed pula berkata, USM di bawah Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) telah melancarkan IIP ini pada Sidang Akademik 2022/2023.

“Hasil daripada IIP ini, seramai 60 orang pelajar (kohort pertama) telah berpeluang untuk dilatih semasa projek tahun akhir mereka. Untuk kohort kedua Sidang Akademik 2023/2024, dianggarkan seramai 150 orang pelajar akan terlibat dalam IIP ini.

“Justeru, ini dapat membantu memastikan pelajar untuk diambil bekerja di syarikat/industri yang sama dalam bidang yang sama dan mendapat gaji premium setelah bergraduasi, iaitu minimum RM4,000,” jelas beliau.

Abdul Rahman juga berkata, IIP bukan sekadar memberi manfaat buat bakal graduan, namun turut memberi impak kepada pensyarah Universiti melalui dapatan pengetahuan dan perkongsian teknologi terkini daripada pihak industri, selain dapat memohon geran industri.

WhatsApp Image 2023 09 04 at 13.58.32

Tambah beliau, pihak industri pula akan mendapat manfaat seperti bekalan jurutera graduan terlatih yang berkualiti, penjimatan dari segi pengecualian cukai dan lain-lain.

Malaysia adalah salah satu pemain utama dalam industri semikonduktor dunia dengan 7% daripada jumlah perdagangan semikonduktor global adalah melalui Malaysia.

Dengan itu, industri semikonduktor di bawah sektor elektrik dan elektronik (E&E) memerlukan sekurang-kurangnya 6,500 jurutera mahir bagi menampung perkembangan industri sektor ini untuk 5 tahun akan datang.

Kerjasama USM-Oppstar Berhad ini dilihat sebagai salah satu inisiatif penting bagi mengekalkan dan meningkatkan daya saing Malaysia di dalam sektor E&E spesifiknya industri semikonduktor, serta menampung keperluan peningkatan bakat tenaga mahir yang terlatih di dalam bidang ini.

Oppstar Berhad merupakan salah satu dari syarikat inkubator di SAINS@USM. Ianya menjadi syarikat perintis di Malaysia memulakan IC design incubation program di Universiti, dan USM melalui PPKEE adalah universiti pertama yang memulakan inisiatif ini.

WhatsApp Image 2023 09 04 at 13.58.31

Hadir sama adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mewakili Ketua Setiausaha KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff; Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; Pengarah, Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Tinggi, Dato’ Mohd Sharil Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif, Oppstar Berhad, Ng Meng Thai; Ketua Pegawai Teknologi, Oppstar Berhad, Cheah Hun Wah; serta Pengurusan Tertinggi KPT, USM dan Oppstar Berhad.

WhatsApp Image 2023 09 04 at 13.58.31 1

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 445

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024