PASUKAN DEBAT USM HARUMKAN NAMA UNIVERSITI RAIH GELARAN JOHAN DALAM DEBAT ALAM SEKITAR
BATU PAHAT, JOHOR, 27 Ogos 2023 - Pasukan Debat Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi telah mengharumkan nama universiti apabila dinobatkan sebagai Johan dalam Pertandingan Debat Alam Sekitar antara Institut Pendidikan Tinggi (IPT) kali ke-29 anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang telah berlangsung pada 19 hingga 27 Ogos yang lalu.
Pada tahun ini, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah terpilih untuk menjadi tuan rumah pertandingan debat tersebut yang hampir menginjak usia jubli Intan itu dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Mereka yang menyertai pertandingan tersebut adalah:
1. Muhamad Hafizi Mohd Hanafi (Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan)
2. Abdullah Nudin (Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan)
3. Nursyazana Haron (Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia)
4. Mohamad Firdaus bin Kasah Hamid @ Kasmidy (Pusat Pengajian Sains Komputer)
Pentas akhir menyaksikan USM menumpaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan usul ‘Dewan ini Menyokong Penempatan Semula Pelarian Iklim sebagai Tindak Balas Kemanusiaan terhadap Perubahan Iklim’.
Menurut Muhamad Hafizi yang merupakan ketua pasukan USM dan juga peraih Pendebat Terbaik Peringkat Akhir, perjuangan bersama pasukan ini dan keluarga debat USM adalah suatu pengalaman yang amat manis dan bermakna.
“Ini merupakan debat alam sekitar terakhir saya bersama tiga orang rakan yang lain kerana kami sudah berada di tahun akhir sebagai mahasiswa USM. Kejayaan meraih Johan dan Pendebat Terbaik Akhir merupakan kemenangan berganda buat pasukan debat USM,” katanya.
Pertandingan akhir dan majlis perasmian penutup pertandingan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Alam Sekitar JAS, Dato’ Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.
Wan Abdul Latiff dalam ucapannya berkata objektif utama pertandingan itu adalah untuk meningkatkan pengetahuan mengenai isu dan dasar alam sekitar di peringkat nasional mahupun antarabangsa di samping mencungkil bakat berdebat dalam kalangan pelajar IPT.
“Pertandingan ini juga sebagai usaha berterusan bagi memulihara alam sekitar selain untuk meningkatkan kesedaran umum tentang isu alam sekitar yang harus ditangani bersama,” katanya.
Pertandingan debat kali ke-29 itu telah menarik penyertaan sebanyak 30 pasukan yang terdiri daripada 19 universiti awam, 6 universiti swasta dan 5 institut pendidikan guru.
Pusingan awal pertandingan ini berlangsung mengikut norma baharu dengan menggunakan pendekatan hibrid dengan melaksanakannya secara dalam talian pada 19 dan 20 Ogos 2023, manakala pusingan suku akhir, separuh akhir dan akhir telah diadakan secara bersemuka di UTHM pada 25 hingga 27 Ogos yang lalu.
Seluruh warga USM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan Debat USM di atas kejayaan yang membanggakan dan mengharumkan nama universiti ini.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi
- Created on .
- Hits: 477