USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

D’PRINCE: PUSAT ASUHAN INKLUSIF ANAK-ANAK NORMAL DAN MASALAH PENDENGARAN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Ogos 2023 – Program Inklusif Anak Cemerlang atau D’PRINCE (dahulunya dikenali sebagai D’KECeK atau PRINCE) merupakan Pusat Asuhan Kanak-kanak (TASKA) di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) yang diwujudkan untuk menyediakan intervensi awal bagi kanak-kanak bermasalah pendengaran dalam suasana inklusif serta memupuk dan memberi inspirasi pembelajaran.

WhatsApp Image 2023 09 04 at 16.46.32 1

D'PRINCE menekankan perkembangan kanak-kanak dalam persekitaran semulajadi khususnya kanak-kanak dengan masalah pendengaran menggunakan konsep pembelajaran melalui bermain, pendekatan bertema, pendekatan bersepadu, teknologi maklumat dan komunikasi.

Menurut Ketua Penasihat D’PRINCE yang juga Pensyarah Program Audiologi, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) USM, Dr. Mohd Fadzil Nor Rashid, D’PRINCE ditubuhkan dengan visi untuk melahirkan generasi yang cemerlang dari aspek moral, jasmani, rohani dan kognitif.

WhatsApp Image 2023 09 04 at 16.46.32 3

“D'PRINCE menggunakan pendekatan menerap dan memupuk nilai kepimpinan kanak-kanak pada awal usia secara berterusan melalui penerokaan pembelajaran dan menggalakkan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh serta mampu berfikir secara saintifik.

“D’PRINCE juga memberi peluang kepada kanak-kanak khususnya pesakit Hospital USM yang didiagnosis dengan masalah pendengaran untuk bersama-sama menjalani aktiviti seharian dengan kanak-kanak pendengaran normal agar mereka tidak rasa tersisih dan terpinggir lanjutan daripada masalah yang mereka alami,” katanya ketika ditemubual.

Jelas Mohd Fadzil, empat (4) dalam setiap 1,000 bayi dilahirkan telah dikesan mengalami masalah pendengaran.

Ujian saringan pendengaran pada bayi yang baru lahir dapat membantu mengesan masalah pendengaran seawal mungkin selain membantu mengenal pasti kaedah rawatan terbaik untuk anak tersebut.

“Kanak-kanak yang dikenal pasti mempunyai masalah pendengaran dan mendapat intervensi atau rawatan seawal umur enam (6) bulan berpotensi untuk bertutur dan mempunyai perkembangan bahasa selari dengan kanak-kanak sebaya yang mempunyai pendengaran normal,” ujarnya lagi.

Mohd Fadzil berkata, D’PRINCE pada peringkat awal penubuhannya pada tahun 2009 dikenali sebagai program D’KECeK (Deaf Kids Excellent Centre of Kelantan) yang memfokuskan intervensi awal kanak-kanak dengan masalah pendengaran dan membantu mereka untuk berkomunikasi dengan komuniti tanpa sebarang jurang perbezaan.

WhatsApp Image 2023 09 04 at 16.46.32 2

“Program D’KECeK lebih menumpukan aspek terapi bahasa dan sesi berkumpulan untuk membantu kanak-kanak tersebut berdikari dan dikenali sebagai PRINCE pada tahun 2011.

“Selepas dinamakan PRINCE, ia menekankan tujuh (7) prinsip asas pembelajaran awal dan perkembangan holistik kanak-kanak iaitu fizikal, sosial dan emosi, kesihatan dan pengurusan diri, bahasa dan literasi, kognitif dan pengetahuan am, kerohanian serta logik dan penaakulan, selaras dengan standard Kurikulum Permata untuk kanak-kanak di taska,” terangnya. 

Kini, setelah bertapak hampir 15 tahun di Kampus Kesihatan, penjenamaan semula kedua-dua program ini dilakukan dan dikenali dengan nama baharu iaitu D’PRINCE yang merujuk kepada D’KECeK berada di PRINCE. 

WhatsApp Image 2023 09 04 at 16.46.32

Menurut Mohd Fadzil, D’PRINCE mengekalkan objektif awal iaitu menerima kemasukan kanak-kanak bermasalah pendengaran dan belajar bersama-sama dengan kanak-kanak berpendengaran biasa bagi menjiwai pendidikan inklusif.

Beliau turut menjelaskan bahawa kaedah ini dapat memupuk semangat sukarelawan dalam jiwa kanak-kanak dari peringkat awal untuk membantu kanak-kanak lain (kanak-kanak berkeperluan khas) dengan konsep bandar raya sejahtera (healthy-city concept).

“Ia juga dapat menerapkan tingkah laku yang baik dan sikap positif dalam diri selain membantu perkembangan kemahiran bahasa selaras dengan perkembangan umur kanak-kanak untuk berinteraksi dan bersosial dengan menepati tatasusila.

“Kanak-kanak di D’PRINCE juga berpeluang memahami perkembangan jasmani dan menguasai kemahiran motor untuk perkembangan fizikal yang sihat selain mempunyai daya kreatif dan estetika,” ulasnya lanjut.

Tambah Mohd Fadzil, beliau bersama tiga (3) lagi sahabatnya yang juga penasihat D’PRINCE dan pengurus D’PRINCE akan berusaha memberikan yang terbaik untuk membantu melatih kanak-kanak di D’PRINCE agar mereka memenuhi keperluan individu dengan pelbagai tahap keupayaan ke arah pencapaian yang lebih baik dari aspek pendidikan awal, pengurusan diri serta perkembangan sosial kanak-kanak.

“Pasukan Penasihat D’PRINCE turut dianggotai oleh Penasihat Pengurusan dan Kewangan yang juga Pensyarah Kanan Program Audiologi, PPSK, Aw Cheu Lih; Penasihat Audiologi yang juga Pegawai Pemulihan Perubatan Kanan (Audiologi), Suzana Mansor; dan Pegawai Pemulihan Perubatan Kanan (Pertuturan), Nur Farina Rosli; serta Pengurus D’PRINCE, Rosnani Zakaria.

“Bagi ibu bapa yang berminat menempatkan anak-anak mereka di D’PRINCE, sila hubungi 09-7677802 untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya mengakhiri temubual.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman.

  • Created on .
  • Hits: 388

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024