USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SEMARAKKAN HARI KEBANGSAAN KE-66 SERTAI ACARA PERBARISAN DAN PERARAKAN PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

BATU KAWAN, PULAU PINANG, 31 Ogos 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) tahun ini sekali lagi telah memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia dengan tidak ketinggalan menyertai perbarisan dan perarakan Hari Kemerdekaan kali ke-66 bagi peringkat negeri Pulau Pinang.

Terima kasih kepada pihak Unit Perhubungan Staf, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar USM yang telah mendapatkan penyertaan dalam kalangan staf yang berminat dan mengkoordinasi penyertaan staf mewakili kontinjen kawad Merdeka USM.

WhatsApp Image 2023 08 31 at 18.37.33 1

Berlangsung di Perkarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, kontinjen kawad USM terdiri daripada 55 orang anggota bersama maskot Helang yang diketuai oleh Dharmaraj Deivadas daripada Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan.

Membawa moto ‘Kelestarian Universiti untuk Masa Hadapan,’ Dharmaraj yang merupakan ketua kontinjen USM berkata, penyertaan pasukan USM dalam acara sambutan ini adalah untuk menyemai semangat patriotisme dalam diri staf USM di samping untuk membentuk disiplin diri, kesepakatan dan semangat kerjasama berpasukan.

“Saya berharap agar dengan menyertai acara perbarisan seperti ini, warga staf USM dapat memberi sumbangan dan khidmat kepada universiti secara khasnya dan pada masa yang sama dapat mengharumkan nama USM tercinta melalui semangat kesukarelawanan dengan menanam semangat patriotisme dalam diri masing-masing,” katanya.

WhatsApp Image 2023 08 31 at 18.30.32

WhatsApp Image 2023 08 31 at 18.37.33

WhatsApp Image 2023 08 31 at 18.30.32 1

Tambah Dharmaraj, uniknya acara sambutan pada tahun ini adalah persembahan khas demonstrasi Tempur Tanpa Senjata (TTS) dari Anggota Divisyen ke-2 Infantri Malaysia yang terdiri daripada 116 anggota lain-lain pangkat, yang merupakan gabungan elemen Taekwondo dan Gempur Wira.

Selain itu, terdapat juga booth-booth pameran yang terdiri daripada 17 Agensi Keselamatan yang mempamerkan aset-aset dan jentera pasukan beruniform bagi menarik perhatian para pengunjung yang hadir.

Majlis bertambah seri dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak bersama isteri, Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd Nor; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang; serta pegawai-pegawai utama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Hari kebangsaan pada tahun ini membawa tema “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” yang membawa maksud aspirasi tekad serta komitmen pemimpin bersama rakyat sebagai sebuah negara bangsa yang memililki semangat perpaduan yang tinggi, bersatu padu serta menjalani kehidupan yang aman dan sejahtera.

Secara keseluruhannya, kira-kira 5,900 peserta yang terlibat menyertai acara perbarisan dan perarakan tersebut dengan penyertaan daripada 92 kontinjen berjalan kaki dan 25 kontinjen berkenderaan.

Para peserta terdiri daripada pelbagai jabatan, agensi negeri dan persekutuan, badan berkanun negeri dan persekutuan, anak syarikat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Turut memeriahkan acara adalah persembahan koir lagu patriotik oleh Kumpulan Seni Persembahan Santun Semilang dari SMK Seberang Jaya; gabungan elemen muzik tradisional tiga kaum majoriti di Malaysia; Boria Jalur Gemilang; Pasukan Kawalan Kehormatan dari Rejimen Ketiga Kor Armor Di Raja serta aset kenderaan iaitu Perisai GEMPITA 8x8.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 637

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024