LARIAN KUMPUL DANA BANTU PESAKIT SUMBING BIBIR DAN LELANGIT
KUBANG KERIAN, 17 Mei – Lebih 400 orang mengambil bahagian dalam program ‘Run For Cleft’ kali ketiga anjuran Persatuan Sains Pergigian, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSG) untuk mengumpul dana yang akan disalurkan kepada ‘Cleft Lip and Palate Association of Kelantan’ (CLAPAK) serta Bakti Sosial Sumbing Bibir dan Lelangit PPSG dengan membantu kanak-kanak yang mempunyai masalah sumbing bibir dan lelangit.
Pengerusi CLAPAK, Dr Wan Azman Wan Sulaiman berkata program sebegini dapat membantu kira-kira 1,600 orang pesakit sumbing bibir dan lelangit di seluruh Kelantan yang menjalani rawatan sama ada di Hospital Universiti Sains Malaysia atau Hospital Raja Perempuan Zainab II termasuk membantu meringankan beban pesakit berulang-alik mendapatkan rawatan.
Tambahnya lagi, diharapkan program seperti ini ditingkatkan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang masalah sumbing bibir dan lelangit.
Dana yang dikutip juga turut disalurkan kepada program bakti sosial sumbing bibir dan lelangit ke Indonesia yang dilaksana oleh PPSG serta membantu pelajar melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan membantu golongan yang kurang bernasib baik. - Teks dan Foto: Lailatul Hafiza Abdul Rashid
- Created on .
- Hits: 953