USM BERI KOMITMEN KEPADA ASPIRASI NEGARA, “MALAYSIA MADANI: TEKAD PERPADUAN PENUHI HARAPAN” SEMPENA SAMBUTAN KEMERDEKAAN NEGARA
USM PULAU PINANG, 31 Ogos 2023 – Bertemakan “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” bagi Sambutan Hari Kebangsaan 2023, Universiti Sains Malaysia (USM) menyahut hasrat kerajaan dalam memperkasa perpaduan untuk kesejahteraan negara.
USM turut menyokong penuh usaha untuk mendasari TEKAD pemimpin bersama rakyat bagi memastikan Malaysia sebuah negara bangsa yang mempunyai semangat PERPADUAN yang tinggi, bersatu padu, aman dan sejahtera.
Oleh itu, seluruh warga USM diseru untuk sentiasa bersatu padu dan berdiri teguh antara satu sama lain dalam menghadapi cabaran mendatang.
Demikian ujar Naib Canselor USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang menyeru agar semua warga USM untuk terus kekal bersatu dalam membangunkan menara ilmu ini dengan memberi komitmen yang tinggi dalam menjalankan tugas untuk institusi dan berkhidmat untuk negara.
“Saya ingin mengajak seluruh warga USM untuk terus teguh bersama dan memahami erti kemerdekaan yang bukan sekadar laungan semata-mata akan tetapi merupakan satu PERJUANGAN YANG IKHLAS dan KESETIAAN KITA dalam menegakkan kedaulatan negara agar terus terpelihara,” katanya.
Hal ini selari dengan HARAPAN Malaysia Madani iaitu PERPADUAN sebagai kunci utama bagi memastikan rakyat mengecapi segala bentuk kemajuan serta kemodenan yang berteraskan kemampanan budaya bangsa, berdaya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat menghormati dan ihsan.
“Saya dan Pengurusan Tertinggi USM amat bersyukur dengan komitmen dan dedikasi terhadap tugas serta semangat kerja berpasukan yang tinggi yang ditunjukkan oleh semua warga kerja USM dalam menunaikan tanggungjawab dan peranan masing-masing dalam merealisasikan visi dan misi APEX USM.
“Hal ini sekaligus menunjukkan pengorbanan dan kesetiaan warga kerja USM meskipun berdepan pelbagai cabaran. Anda semua telah meletakkan komitmen yang jitu dan bertungkus-lumus bersama-sama memacu kecemerlangan Universiti dalam pelbagai aspek sekaligus mengangkat agenda pengajian tinggi negara,” katanya.
Abdul Rahman mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-66 kepada semua rakyat Malaysia terutamanya warga USM di mana jua mereka berada.
“Semoga Kemerdekaan tahun ini bukan sahaja membawa seribu makna buat kita semua dalam memerdekakan diri dari unsur-unsur negatif, malah semua warga cemerlang USM dapat terus mendendangkan semangat esprit de corps.
“Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-66 bagi tahun 2023 ini, kita seharusnya mengambil peluang dan ruang bersama-sama bagi menghayati erti sebenar kemerdekaan kerana ia akan menaikkan lagi semangat patriotisme cintakan tanah air dalam diri masing-masing,” ujar beliau.
Katanya lagi, dalam menghayati erti sebenar kemerdekaan kita perlu menyedari, penghargaan bukanlah segala-galanya, namun ianya mampu menjadi faktor penting bagi menggerak kita untuk terus menyumbang kepada kecemerlangan organisasi terutamanya dalam agenda pengajian tertinggi negara.
‘Winning in any competition is a struggle, but maintaining the winning crown is another big struggle.’
Teks: Siti Fatimah Abu Mansor/Suntingan: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 672