USM TINGKATKAN PENDIDIKAN, PROFESIONALISME BERKAITAN INTEGRITI MELALUI PROGRAM KOLABORASI CPIAM
USM PULAU PINANG, 30 Ogos 2023 - Pusat Pengajian Pengurusan (SOM) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Association of Certified Integrity Officer (ACeIO) hari ini telah mengadakan Majlis Pelancaran Program USM Certified Professional in Integrity Assurance and Management (CPIAM) 2023 sebagai satu langkah penting dalam usaha untuk terus meningkatkan kualiti pendidikan dan perkembangan profesionalisme dalam bidang integriti.
Kolaborasi ini bertujuan untuk bersama-sama membangunkan modal insan yang dilengkapi dengan ilmu serta kemahiran dalam menjalankan tugas-tugas berkaitan integriti dalam masyarakat dan organisasi.
Program CPIAM menawarkan kursus-kursus dari segi pendekatan teori dan praktikal untuk memberikan pandangan komprehensif tentang isu-isu integriti, keselamatan siber dan digital, serta pengetahuan dan kemahiran bagi pelbagai isu pengurusan.
Hadir pada majlis pelancaran program adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama Presiden ACeiO, Ahmad Sabri Mohamed dan Pengarah Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, Tuan Ruslan Tuan Mat.
Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, kerjasama yang dipamerkan dalam pelaksanaan program ini adalah satu contoh yang jelas bagaimana universiti dan industri boleh bekerjasama untuk mencapai matlamat bersama membangunkan tenaga profesional yang berkualiti dan kompeten dalam menjalankan tugas-tugas integriti dalam masyarakat dan organisasi.
“Program CPIAM yang dipelopori oleh SOM USM yang dilancarkan pada hari ini adalah langkah positif dalam memastikan bahawa modal insan dalam negara kita dilengkapi dengan pakar yang mahir berkongsi dan mengajar nilai-nilai integriti yang kukuh untuk menghadapi realiti dunia yang seringkali mencabar,” kata Abdul Rahman.
Menurut Ahmad Sabri, pihak ACeiO amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan pihak USM, yang mana ianya dapat memperkukuhkan kompetensi dan membantu pihak ACeiO dalam melaksanakan tanggungjawab mereka untuk bersama-sama menjayakan agenda pembudayaan integriti serta membasmi gejala rasuah.
Sementara itu, Dekan SOM USM, Profesor Dr. Noor Hazlina Ahmad berkata, pihak SOM USM sentiasa proaktif dalam mencari ruang dan peluang bekerjasama dengan rakan kolaborasi dari dalam dan luar negara bagi memartabatkan usaha pembelajaran sepanjang hayat.
Turut diselitkan dalam majlis adalah penyampaian pelantikan Professor of Practice -- Profesor Adjung kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Kontron Asia Pacific Design Sdn. Bhd., Dato’ Ts. Dr. Shanmuganathan Palanisamy. Semoga dengan pelantikan ini akan dapat memantapkan lagi kolaborasi dan jaringan kerjasama serta perkongsian kepakaran yang akan membawa manfaat kepada kedua-dua pihak.
Hadir sama adalah Penasihat Undang-Undang USM, Dr. Khairul Anuar Che Azmi, Pengurusan Tertinggi USM, pegawai-pegawai utama universiti, dan delegasi ACeiO dan SPRM.
Program CPIAM yang pertama akan melibatkan pegawai-pegawai daripada pelbagai agensi dan jabatan berkaitan seperti Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan; Lembaga Zakat Selangor (MAIS); SPRM; Sabah Electricity Sdn Bhd; Sarawak Economic Development Corporation (SEDC); Majlis Bandaraya Johor Bahru; Lembaga Getah Malaysia (LGM); Jabatan Perikanan Malaysia; Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak; Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd; Majlis Daerah Cameron Highlands; Sarawak Land Consolidation & Rehabilitation Authority (SALCRA); Sarawak Forestry Corporation; Universiti Kebangsaan Malaysia; Universiti Utara Malaysia; Universiti Malaysia Terengganu; Universiti Islam Antrabangsa Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.
Seterusnya, program CPIAM yang kedua pula akan melibatkan pegawai-pegawai daripada Felda Global Ventures (FGV) yang akan dijalankan di Wisma Felda, Kuala Lumpur.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 704