USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KUMPULAN USAINS HOLDING SDN. BHD. RAI 25 TAHUN DALAM INDUSTRI DAN TUBUH HAB PERTAMA BURUNG PUNGGUK DI USM KUBANG KERIAN

WhatsApp Image 2023 08 27 at 4.16.08 PM

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Ogos 2023 – Kumpulan USains Holding Sdn. Bhd. hari ini telah menganjurkan majlis perasmian bagi dua buah program iaitu USains Barn Owl Research Centre @ Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian (UBorg) dan Penukaran Nama USains Healthcare bersempena 25 Tahun dalam Industri.

Program UBorg merupakan kerjasama antara Kumpulan USains Holding Sdn. Bhd. dengan Barn Owl Rodent Research Group (BORG) USM yang bertujuan untuk melaksanakan penggunaan burung pungguk jelapang atau nama saintifiknya, Tyto javanica javanica sebagai kaedah kawalan biologi yang berkesan untuk menangani tikus perosak di dalam kampus dan kawasan sawah yang terletak berdekatan dengan kampus di sepanjang Sungai Kemasin, Kelantan.

IMG 20230827 WA0023 IMG 20230827 WA0025  

Sementara itu, bersempena dengan 25 tahun penubuhannya dalam industri, anak syarikat Kumpulan USains Holding Sdn. Bhd., USains Tech Services telah menukarkan nama kepada USains Healthcare, yang mana syarikat ini telah berjaya menjadi entiti syarikat universiti yang berpotensi dan mampan dalam sistem kesihatan negara.

Hadir bagi merasmikan kedua-dua program adalah Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin.

WhatsApp Image 2023 08 27 at 4.16.11 PM

Awang Adek dalam ucapan perasmiannya berkata, projek hab burung pungguk ini secara tidak langsung dapat menyokong amalan pertanian mesra alam di samping membantu petani dalam meminimumkan kerugian tanaman yang disebabkan oleh aktiviti tikus yang merosakkan hasil di ladang dan sawah padi.

“Bukan itu sahaja, penubuhan hab ini juga dapat memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 1, 2, 4, 8, dan 15 iaitu; Tiada Kemiskinan; Kelaparan Sifar; Akses kepada Pendidikan Berkualiti; Pekerjaan yang sesuai dan Pembangunan Ekonomi; Melestarikan Penggunaan Mampan Ekosistem Darat, serta memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) USains terhadap komuniti di Kubang Kerian,” kata Awang Adek.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kumpulan USains atas pencapaiannya selama 25 tahun dalam industri yang masih kekal relevan dan mantap.

WhatsApp Image 2023 08 27 at 4.16.15 PM

Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan USains Holding Sdn. Bhd., Datuk Dr. Hafsah Hashim berkata, hab penubuhan burung pungguk ini juga mengambil kira nilai ESG (Environment, Social, Governance) yang akan memberikan impak positif kepada persekitaran dan komuniti dari segi alam sekitar, sosial dan pengurusan.

Menurut Hafsah lagi, strategi UBorg ini mengimbangi pelaksanaan projek dengan prinsip-prinsip kelestarian alam, manfaat sosial, dan pengurusan yang beretika, sekaligus akan memberikan impak positif secara holistik.

Tambahnya, “pencapaian 25 tahun kumpulan syarikat ini telah mencerminkan komitmennya dalam menyokong pembangunan, penyelidikan dan kepakaran universiti.

“Kumpulan USains merupakan sebuah syarikat pengkomersilan yang telah memainkan peranan penting dalam mengubah penyelidikan saintifik serta teknologi kepada produk dan perkhidmatan komersial,” katanya.

WhatsApp Image 2023 08 27 at 4.16.13 PM

Hadir sama adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Ahli-Ahli Lembaga Gabenor Universiti; Pengurusan Tertinggi Universiti; Pengarah Urusan Kumpulan, USains Group of Companies, Farid Wajidi Mat Yusoff; Pengarah Eksekutif USains Healthcare Sdn. Bhd., Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim; dan Ketua Penyelaras BORG, Profesor Madya Dr. Hasber Salim.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 534

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024