USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JIM DAN EMGS TINJAU PENGURUSAN VISA PELAJAR ANTARABANGSA MELALUI LAWATAN KERJA KE IMCC USM

USM PULAU PINANG, 25 Ogos 2023 - Unit Pengurusan Visa, Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini buat julung kalinya telah menerima kunjungan lawatan kerja daripada pihak Bahagian Visa, Pas dan Permit, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya dan Pulau Pinang serta pihak Education Malaysia Global Services (EMGS).

WhatsApp Image 2023 08 26 at 23.38.08

Tujuan lawatan kerja tersebut adalah untuk melihat pengurusan pelajar antarabangsa yang dilaksanakan oleh pihak USM bagi memantau proses pengurusan visa dan pas pelajar serta ekspatriat antarabangsa USM.

Hadir bagi mengetuai sesi lawatan itu adalah Pengarah Bahagian Visa, Pas dan Permit, JIM, Zuriah Dollah diiringi wakil Pengarah IMCC USM, Timbalan Pengarah Mobiliti Antarabangsa IMCC USM, Profesor Madya Dr. Mohd Hafizal Mohd Isa.

Pegawai Tadbir Unit Pengurusan Visa, Siti Munirah Abdul Zakariah mewakili IMCC USM membentangkan dan berkongsi mengenai sistem pelaksanaan dan tatacara pengurusan visa, pas dan permit yang dilaksanakan di USM.

Selain itu, turut diselitkan dalam sesi perbincangan adalah isu-isu berkaitan dan cabaran yang dihadapi oleh Unit Pengurusan Visa serta cadangan penambahbaikan yang sewajarnya.

Delegasi berkenaan kemudiannya dibawa melawat Unit Pengurusan Visa IMCC USM bagi tujuan melihat lebih dekat cara pemprosesan visa, pas dan permit yang dilakukan oleh unit berkenaan.

Hadir sama adalah Timbalan Pengarah II Bahagian Visa, Pas & Permit JIM, Nor Shima Izni Ahmad Shihamah; Timbalan Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS) USM, Profesor Madya Dr. Tay Guan Seng; Ketua Unit Pas Pelajar, JIM Cyberjaya, Muhamad Mohd Zain; Ketua Unit Pas Pelajar, JIM Pulau Pinang, Izham Idris; Pengarah EMGS, Ramlan Abd Aziz serta pegawai-pegawai utama JIM, EMGS dan USM.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 350

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024