PPUSMB-MAKNA JALIN KERJASAMA RINGANKAN BEBAN PESAKIT KANSER
USM PULAU PINANG, 21 Ogos 2023 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) hari ini telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Majlis Kanser Nasional (MAKNA) untuk membangunkan dan meluaskan perkhidmatan sokongan kepada pesakit kanser melalui khidmat penjagaan paliatif dan hospis.
Bagi menjayakan usaha murni ini, jalinan kerjasama antara dua pihak itu menyaksikan juga penempatan tiga Jururawat Terlatih MAKNA di Unit Paliatif PPUSMB.
Majlis penandatanganan MoA itu disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama Pengurus Besar MAKNA, Farahida Mohd Farid, disaksikan oleh Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan PPUSMB, Profesor Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin bersama Timbalan Pengurus Besar MAKNA, Vemanna Appannah.
Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, beliau amat berbesar hati dan menyokong sepenuhnya usaha kerjasama yang terjalin ini yang mana dengan usaha murni ini, PPUSMB akan dapat mencapai sebahagian daripada pelan transformasinya untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang holistik dan menyeluruh kepada pesakit, serta selaras dengan usaha USM untuk mempertingkatkan aktiviti pelan Sustainable Development Goals (SDG).
“Saya percaya pasukan paliatif PPUSMB dan Jururawat MAKNA akan berganding bahu dalam usaha untuk memperkembangkan dan memantapkan perkhidmatan penjagaan paliatif bagi membantu meringankan penderitaan pesakit serta penjaga, dan meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.
Tambah Abdul Rahman, harapannya adalah agar PPUSMB dan MAKNA akan menyokong antara satu sama lain untuk melebarluaskan perkhidmatan ini dan aktiviti-aktiviti yang boleh mewujudkan jaringan kerjasama di peringkat nasional pada masa hadapan untuk kesejahteraan sejagat.
Sementara itu, Farahida dalam ucapannya berkata, fokus utama MAKNA adalah untuk membantu mereka yang tidak mempunyai kemampuan untuk membantu diri mereka sendiri dengan menyediakan bantuan kewangan bulanan, ubat-ubatan dan barangan perubatan yang tidak dibekalkan oleh kerajaan, yang mana bantuan kewangan ini mungkin mencecah jutaan ringgit setiap tahun.
“Kita dapat melihat ramai yang hidup dalam kemiskinan yang teruk akibat kehilangan pendapatan dan hanya bergantung kepada kewangan bantuan kerajaan, dan MAKNA berperanan untuk memastikan mereka tidak lalai dalam rawatan mereka,” kata Farahida.
Tambahnya lagi, pengesanan awal adalah kunci untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa, dan kanser tidak mengenali mangsa, oleh itu MAKNA menawarkan bantuan kepada mereka tanpa mengira bangsa, agama atau kepercayaan. Mereka yang memerlukan bantuan perlulah dibantu.
Menurut Tunku Kamarul Zaman, selaras dengan usaha untuk meningkatkan pelan pencapaian SDG, PPUSMB aktif dan giat mengadakan aktiviti bercorak khidmat masyarakat dan pendidikan kesihatan seperti berkunjung ke rumah pesakit paliatif secara berkala untuk pemantauan kesihatan yang menyeluruh di samping memberi rawatan perkhidmatan kesihatan di hospital.
Hadir sama pada majlis adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab; pegawai-pegawai utama MAKNA dan USM serta pakar-pakar perubatan dan warga staf klinikal PPUSMB.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/ Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 764