USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM MIRESS ANJURAN PPKBSM KEMBALI LAGI SELEPAS TIGA TAHUN TERTANGGUH AKIBAT COVID-19

DSC 0035

NIBONG TEBAL, 16 Ogos 2023 – Program Mineral Resources International Summer School (MIRESS) kembali lagi pada tahun 2023 ini setelah tertangguh selama tiga tahun dari 2020 hingga 2022 yang lalu akibat pandemik COVID-19.

Dianjurkan oleh Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM), Universiti Sains Malaysia (USM), program tersebut melibatkan penyertaan seramai 85 pelajar dari Politeknik Akamigas Palembang (PAP), Indonesia dan sedang berlangsung mulai 13 Ogos sehingga 26 Ogos 2023.

Menurut Dekan PPKBSM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, pihak USM sangat menggalakkan program pengantarabangsaan sebegini yang mana ianya sesuai dengan hasrat dan matlamat yang digagaskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

DSC 0494

“Program seumpama ini juga dapat menepati hasrat dan matlamat Sustainable Development Goals (SDGs) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu SDG4 – Pendidikan yang Berkualiti serta SDG17 – Perkongsian untuk Mencapai Matlamat,” katanya.

“Malah, program ini telah mencerminkan keyakinan tinggi pihak PAP dalam mengantarabangsa pembangunan kurikulumnya sambil memberi pengalaman antara negara kepada semua pelajar yang menyertainya pada kali ini,” tambah Mariatti.

Dalam pada itu, Direktur PAP, Ir. Hajah Amiliza Miarti berkata, selain ucapan terima kasih atas sambutan hangat yang diberikan PPKBSM, beliau turut berharap agar setiap ilmu yang diterima sepanjang dua minggu program berlangsung dapat dimanfaatkan oleh semua peserta.

“Kerjasama serta komunikasi yang berkesan dari pihak PPKBSM telah berjaya memastikan program ini dilaksanakan dengan baik serta tersusun dan semoga pelajar PAP dapat mengekalkan momentum sedia ada sambil menjadikan kesempatan ini sebagai pengalaman terbaik masing-masing,” kata Amiliza.

Sementara itu, Penyelaras Program, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim berkata, secara dasarnya, MIRESS adalah sebahagian daripada aktivti yang dipersetujui secara bersama melalui Memorandum Perjanjian (MoA) yang termeterai antara PPKBSM dan PAP pada tahun 2019.

DSC 0003

“Program selama dua minggu ini menawarkan beberapa aktiviti khususnya yang berkaitan dengan kejuruteraan perlombongan, mekanik batuan, petrologi dan alam sekitar, yang mana ianya akan disesuaikan dengan tujuan untuk meningkatkan pengetahuan para peserta.

“Melalui program ini juga, mereka akan turut menerima bimbingan secara langsung dari para pensyarah serta tenaga mahir yang terlibat dalam mengaplikasikan prinsip-prinsip utama perlombongan,” katanya.

“Selain daripada MIRESS, kita turut mempunyai perancangan untuk melibatkan pelajar PPKBSM dalam sesi lawatan akademik ke PAP pada tahun 2024 akan datang, namun ianya masih bergantung kepada beberapa kesesuaian dalam memutuskannya nanti.

“Malah, kedua-dua belah pihak bersetuju untuk memperbaharui MoA pada tahun hadapan untuk tempoh lima tahun lagi iaitu dari 2024 hingga 2028,” tambah Hazizan.

MIRESS 2023 adalah suatu program unik dalam memenuhi keperluan peserta untuk meneroka peluang kerjaya dalam bidang sumber mineral dan perlombongan, yang mana ianya merangkumi beberapa aktiviti lawatan makmal dan latihan amali bagi memberikan pemahaman praktikal yang lebih baik tentang kejuruteraan sumber mineral serta analisis ujian.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Siti Nur Aishah Adzhar (Pelajar Praktikal USM)

  • Created on .
  • Hits: 401

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024