USM TERIMA LAWATAN AUDIT SUSULAN SWAAKREDITASI MQA
USM PULAU PINANG, 17 Ogos 2023 – Pagi ini berlangsungnya majlis pembukaan Audit Susulan Swaakreditasi Universiti Sains Malaysia (USM) oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di Dewan Persidangan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM.
Tujuan lawatan panel auditor tersebut adalah untuk meneliti dan menyemak laporan serta pelan tindakan yang diambil USM terhadap syarat-syarat dan cadangan penambahbaikan yang dikenakan semasa audit pengekalan status swaakreditasi pada tahun lalu.
Pada sesi audit susulan kali ini, seramai dua (2) orang Panel Auditor MQA telah terlibat yang terdiri daripada Profesor Ir. Dr. Shahrir Abdullah dari Universiti Kebangsaan Malaysia selaku Pengerusi Auditor; dan Profesor Dr. Nurahimah Mohd. Yusoff dari Universiti Utara Malaysia selaku Auditor, manakala pegawai dari MQA ialah Helmi Sebaweh @ Ahmad dan Adibah Mat Russ yang bertindak dalam kapasiti sebagai penyelaras dan pegawai sumber.
Dalam ucapan alu-aluannya, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, beliau amat mengharapkan 6 cadangan/saranan dan 9 cadangan penambahbaikan oleh MQA sebelum ini telah dapat diselesaikan sepenuhnya oleh pihak USM.
“Saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua jawatankuasa yang terlibat yang sentiasa memberi komitmen, kerjasama dan sokongan penuh dalam mematuhi standard MQA,” katanya.
USM telah dianugerahkan status Swaakreditasi oleh MQA pada 29 April 2010. Ia merupakan satu Perakuan yang melayakkan sesebuah Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) mengakredit program pengajiannya sendiri berpandukan kepada Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) serta standard dan ketetapan yang ditetapkan oleh pihak MQA dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dari semasa ke semasa, kecuali program profesional yang memerlukan akreditasi serta pengiktirafan badan profesional yang relevan.
Semoga semua urusan pengauditan susulan ini berjalan lancar dan USM berjaya mengekalkan Status Swaakreditasi ini.
Teks: Siti Fatimah Abu Mansor/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 466