USM MENGHAKUPAYA PELAJAR LAKSANA PROGRAM KELESTARIAN
PULAU PINANG, 16 Mei 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) menghakupayakan para pelajarnya melalui aktiviti kesukarelawanan yang dirancang dan dilaksanakan mereka untuk menjayakan agenda kelestarian melalui pelbagai program yang diadakan secara berterusan.
Semalam berlangsung program "Cycling Biodiversity And Stick It To Save Water", di sekitar Tasik Fajar Harapan. Seramai 30 orang sukarelawan dilepaskan mengikut pecahan – pecahan desasiswa masing-masing dengan berbasikal sambil menampal stiker penjimatan air di semua tandas di desasiswa terpilih bertujuan meningkatkan kesedaran kepada komuniti kampus untuk bersama-sama menjimatkan air. Antara desasiswa yang terlibat ialah Bakti Permai, Aman Damai, Fajar Harapan dan Indah Kembara.
Yang Dipertua Sukarelawan Kampus Sejahtera 2014/2015 USM, Wee Soon Kit berkata, pada permulaannya program berkenaan merupakan aktiviti riadah sambil menampal stiker untuk memberi kesedaran kepada warga kampus dalam aspek kelestarian dengan menyokong kempen penjimatan air tanpa memikirkan ganjaran mata MyCSD walaupun ada disediakan.
"Program berkonsepkan riadah ini bukan sahaja dapat menyihatkan badan, namun bersama-sama menyokong agenda kelestarian universiti, selain mengukuhkan ukhuwah dan persahabatan sesama pelajar," ujar pelajar Tahun 4, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM ini.
Penerima Anugerah Sukarelawan Alam Sekitar Terbaik, Anugerah Tokoh Siswa 2014, ini turut menyifatkan penyertaan pelajar yang hadir bersama-sama menyokong agenda kelestarian universiti ini sangat baik sebagai amalan mulia yang akan diteruskan pada masa hadapan.
Pengarah Program "Cycling Biodiversity And Stick It To Save Water", Nur Raihan Roslan berkata, Kelestarian air merupakan agenda utama bagi pecahan kategori Kluster Air yang dapat memupuk semangat kerjasama dan kesukarelawanan para pelajar.
"Sebenarnya ini adalah peringatan kepada warga kampus untuk menggunakan tandas dengan bijak dengan menjaga kebersihan sambil menggunakan air secara berhemah tanpa pembaziran demi kepentingan kelestarian air dalam menjalani kehidupan seharian," kata Nur Raihan.
Tambahnya lagi, usaha-usaha memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan air perlu terus dilakukan oleh pelbagai pihak di negara ini seperti kempen kebersihan, perkhemahan alam sekitar bagi belia, seminar, bengkel, pameran, promo media dan penerbitan bahan-bahan cetak dengan meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan penyertaan orang ramai termasuklah warga kampus bagi tujuan ini.
"Kelestarian air adalah tanggungjawab bersama supaya pembangunan lestari dapat dizahirkan melalui penggunaan sumber alam yang dapat diguna pakai sehingga generasi akan datang secara kualitatif dan kuantitatif," ujar pelajar tahun pertama, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM (HBP) itu lagi. - Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Ihsan dari Sekretariat Kampus Sejahtera
- Created on .
- Hits: 1443