USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, STARFIVE TECHNOLOGY BERGABUNG, KE ARAH MEMBANGUNKAN TEKNOLOGI EKOSISTEM RISC-V

DSC 0157

NIBONG TEBAL, 12 Ogos 2023 – Majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) dan StarFive Technology International Sdn. Bhd. pada 28 Julai yang lalu membuka jalan bagi kerjasama dalam seni bina RISC-V transformatif antara kedua-dua pihak.

Menurut Dekan PPKEE, Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Bin Sundi @ Suandi, kerjasama dan penglibatan penyelidikan selama tiga tahun itu akan membawa manfaat yang besar kepada universiti, khususnya bagi penyelidik-penyelidik di PPKEE USM.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada StarFive Technology atas peluang yang diberikan, dan bersama-sama kita ke hadapan dalam memacu ekosistem RISC-V; pada masa yang sama, PPKEE juga akan meningkatkan kesedaran, memupuk bakat dan budaya inovasi yang berkaitan dengan RISC-V.

DSC 0074

DSC 0108

“Kita akan bersama-sama membangunkan sistem pengawal (controller) berasaskan RISC-V, dan saya berharap komitmen ini akan berterusan dan menjadi satu medium perkongsian antara kedua-dua pihak, bukan sahaja untuk tempoh perjanjian yang dipersetujui tetapi juga pada masa hadapan,” kata Shahrel.

Beliau turut yakin akan kerjasama yang terjalin antara USM dan StarFive Technology terutamanya dari segi komitmen yang dipersetujui serta perkongsian kepakaran.

"Kami akan melakukan yang terbaik dalam melaksanakan segala perancangan kita dan akan memastikan penyelidikan ini mencapai matlamat perjanjian yang telah dipersetujui," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden dan Pengurus Besar StarFive Technology International Sdn. Bhd., Ong Chin Hu berkata, VisionFive 2 ialah Single Board Computer (SBC) RISC-V berprestasi tinggi pertama di dunia dengan GPU bersepadu.

DSC 0089

DSC 0133

“Berbanding dengan generasi terdahulu, VisionFive 2 telah dinaik taraf sepenuhnya dengan peningkatan ketara adalah dalam kekerapan pemproses RISC-V, keupayaan pemprosesan multimedia, kebolehskalaan, dan lain-lain.

“Prestasi unggul papan tersebut, serta harganya yang berpatutan menjadikan VisionFive 2 bukan sahaja terbaik tetapi juga papan pembangunan RISC-V mampu milik pada ketika ini, yang sesuai dengan aktiviti penyelidikan dan pendidikan yang berkaitan dengan teras pemproses RISC-V,” katanya.

“Seni bina RISC-V, dengan reka bentuk berskala dan modularnya juga menawarkan tahap fleksibiliti dan inovasi yang unik, yang mana ia dahulunya hanya terhad kepada IoT dan ruang terbenam sahaja.

“Namun demikian, RISC-V kini boleh diguna pakai untuk pengkomputeran desktop dan pasaran pusat data juga.

“Kami telah mengguna pakai model sumber terbuka dalam mengatasi halangan paten seni bina tradisional seperti x86 dan ARM dan akhirnya mengurangkan jurang dalam membangunkan cip tersebut, menjadikannya sebagai produk bercekapan tinggi yang bukan sahaja rendah dari segi kos, tetapi juga dari segi kuasanya untuk pasaran IC.

DSC 0420

Sebagai permulaan kepada kerjasama yang dijalankan, StarFive Technology telah menyumbangkan dua puluh set papan VisionFive 2 (RISC-V SBC dengan aksesori) kepada PPKEE semasa majlis tersebut, dengan nilai keseluruhan adalah USD2,960.00.

Turut hadiri adalah Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Penglibatan Industri-Komuniti PPKEE, Profesor Madya Dr. Muhammad Nasiruddin Mahyuddin; Pengarah Kejuruteraan Reka Bentuk, StarFive Technology International Sdn. Bhd., Png Yu Wei; dan Pengurus Sumber Manusia dan Pejabat, StarFive Technology International Sdn. Bhd., Doreen Ng.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman & Siti Nur Aishah Adzhar (Pelajar Praktikal USM)

  • Created on .
  • Hits: 547

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024