PROGRAM PEMANTAPAN SAINS KOMPUTER BANTU MEMPERKASA ILMUWAN SAINS KOMPUTER MASA HADAPAN
USM PULAU PINANG, 11 Ogos 2023 – Program Pemantapan Sains Komputer Pelajar Tingkatan 4 dan 5 Pulau Pinang telah berlangsung dengan jayanya pada 3 dan 4 Ogos yang lalu di Pusat Pengajian Sains Komputer (PPSKOMP), Universiti Sains Malaysia (USM).
Program tersebut melibatkan 300 pelajar keseluruhannya terdiri daripada 150 pelajar Tingkatan 4 dan 150 pelajar Tingkatan 5 yang merupakan pelajar yang memilih mata pelajaran sains komputer di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Objektif program tersebut adalah untuk memberikan pendedahan awal kepada pelajar-pelajar yang mengambil mata pelajaran sains komputer di sekolah menengah, yang mana mereka akan menjalankan projek sains komputer bermula dari Tingkatan 4 sehingga ke Tingkatan 5.
Hadir bagi merasmikan program pada 4 Ogos yang lalu adalah Dekan PPSKOMP, Profesor Dato’ Dr. Bahari Belaton.
Bahari dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas atas penganjuran program ini, yang mana program ini bukan sahaja dapat memotivasikan pelajar tetapi juga ianya dapat memberikan erti sebenar kepada pelajar untuk merasakan pembelajaran sains komputer di universiti.
“PPSKOMP turut berterima kasih atas sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Penang Science Cluster, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, kakitangan pusat pengajian dan pelajar-pelajar yang menjadi fasilitator serta pelajar tahun akhir yang terlibat dalam menjayakan program ini.
“Kepada semua yang terlibat, anda telah membantu dalam menyemai semangat dan melahirkan minat kepada pelajar-pelajar ini agar mereka memilih sains komputer sebagai bidang pilihan dan pastinya USM sebagai pilihan pertama,” katanya.
Harapan Bahari adalah agar kerjasama dengan pihak Penang Science Cluster akan terus terjalin dengan erat dan akan diperkasa pada masa-masa akan datang.
“Pihak PPSKOMP akan terus menyokong dan membantu dalam menjayakan program yang memberi impak kepada masyarakat sekeliling terutamanya dalam pembudayaan ilmu berkaitan sains komputer,” tambah Bahari.
Program berkenaan dilaksanakan melalui geran yang diterima oleh Pensyarah Kanan PPSKOMP merangkap ketua projek, Dr. Zarul Fitri Zaaba di bawah tajaan Penang Science Cluster dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.
Zarul Fitri berkata, melalui geran ini, PPSKOMP akan terus membantu para pelajar dan guru dalam memantapkan ilmu pengetahuan, pemahaman dan intipati sains komputer melalui kolaborasi berterusan dengan pihak industri dan kementerian.
“Untuk fasa pertama iaitu program pelajar telah pun selesai. Alhamdulillah, pelajar-pelajar dari pelbagai latar belakang, kaum dan daerah dapat berkumpul dan berkenal-kenalan di samping belajar dengan lebih mendalam tentang sains komputer walaupun dalam masa yang singkat.
“Perkara utama yang ingin dicapai adalah untuk memupuk minat yang awal dan mendalam sebelum mereka memilih jurusan nanti.
“Selepas ini, para guru yang mengajar sains komputer di Pulau Pinang pula akan menghadirkan diri untuk sesi pemantapan melalui beberapa modul sains komputer yang terpilih seperti pangkalan data, pembangunan sistem, analisis sistem dan maklumat, serta pemikiran komputasional,” kata Zarul Fitri.
Menurut beliau lagi, melalui program ini juga, pelajar didedahkan kepada projek sains komputer dalam sesi pembentangan dan demonstrasi pelajar tahun akhir yang menjurus kepada pembangunan sistem web, peranti mudah alih, robotik, grafik dan sebagainya.
Di samping itu, pelbagai aktiviti lain turut diadakan seperti kuiz sains komputer, sesi percambahan minda dan inovasi serta aktiviti pemikiran komputasional yang melibatkan kreativiti dalam penyelesaian masalah.
Secara keseluruhannya, para pelajar dan guru merasakan bahawa program seperti ini wajar dianjurkan pada masa yang akan datang untuk menambahkan lagi minat pelajar dan memberi lebih pemahaman tentang hala tuju sains komputer.
Teks asal: Dr. Zarul Fitri Zaaba/Suntingan: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi
- Created on .
- Hits: 656