USM, UNSAM METERAI MoU JALIN KERJASAMA DALAM PENGAJARAN, PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA
USM PULAU PINANG, 11 Ogos 2023 – Universiti Sains Malaysia melalui Pusat Pengajian Sains Fizik, hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Samudra (UNSAM) Aceh, Indonesia dengan tumpuan untuk membentuk jalinan kerjasama dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan sumber manusia.
Kerjasama itu melibatkan pelbagai cabang ilmu yang ditawarkan di USM dan juga di UNSAM, dan hubungan kerjasama tersebut bukan sahaja melibatkan staf akademik kedua-dua universiti, malah dikembangkan kepada pelajar dan staf pentadbiran universiti.
MoU tersebut ditandatangani Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama Rektor UNSAM, Profesor Dr. Ir. Hamdani; dan disaksikan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Fizik USM, Profesor Dr. Abdul Razak Ibrahim dan Wakil Rektor 1 (Akademik) UNSAM, Dr. Ir. Cut Mulyani.
Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, saya yakin kerjasama pelbagai bidang yang dijalankan akan memberi ruang kepada pensyarah, penyelidik dan pelajar untuk menjadi warga yang bertanggungjawab secara aktif menyumbang untuk mencipta masa depan yang lestari dalam pengajaran dan pembelajaran; penyelidikan dan inovasi; libatsama industri dan komuniti; pembangunan dan pengembangan bakat; dan sebagainya.
Katanya lanjut, antara skop kerjasama yang dipersetujui bersama antara USM dan UNSAM adalah seperti berikut:
- Pembangunan sumber manusia;
- Pertukaran staf pentadbiran;
- Usahasama penyelidikan dalam bidang kepentingan bersama dan penerbitan hasil penyelidikan;
- Pertukaran pelajar melalui program pemindahan kredit;
- Inisiatif pembelajaran jarak jauh; serta
- Pertukaran dan perkongsian bahan dan maklumat akademik.
Sementara itu, Hamdani berkata, beliau berharap dengan kerjasama ini, pihak USM dapat memberikan peluang dan membantu UNSAM dalam perkara seperti berikut:
- Menjemput beberapa profesor USM untuk memberikan pengajaran terhadap beberapa fakulti yang terlibat;
- Pihak UNSAM akan menghantar beberapa pensyarah untuk melanjutkan pengajian pasca-siswazah di USM;
- Pihak UNSAM juga memohon bantuan USM dalam melaksanakan kajian/penyelidikan bersama para pensyarah.
“Besarlah harapan saya agar kerjasama yang akan dijalinkan ini memberikan manfaat bersama kepada institusi pengajian masing-masing dan dalam penyebaran ilmu pengetahuan dan penyelidikan di antara kedua-dua negara,” katanya.
Teks: Siti Fatimah Abu Mansor/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 429