USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-ADRC METERAI MoA, JALIN KERJASAMA STRATEGIK DALAM PROJEK ESG

USM PULAU PINANG, 10 Ogos 2023 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), hari ini telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Advance Dispute Resolution Centre (ADRC) untuk bersama-sama mengusahakan Projek Environmental, Social and Governance (ESG) (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus).

WhatsApp Image 2023 08 10 at 13.20.25

Kolaborasi strategik ini bertujuan untuk bekerjasama dan meneroka peluang bagi membangunkan sistem ESG baharu, menyokong dan memperkaya KPI USM melalui pengajaran, penyelidikan (geran), IP/Inovasi, penerbitan, perundingan dan latihan sekaligus mewujudkan manfaat sinergi kepada kedua-dua belah pihak.

Majlis penandatanganan MoU itu disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama Penasihat Kehormat Kanan ADRC, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Hj. Mohd Yussof Latiff, disaksikan oleh Penasihat Kehormat ADRC, Dato’ Seri R. Arunasalam V. Ramasamy bersama Pengarah CGSS, Profesor Madya Dr. Mohd Wira Shafiei.

WhatsApp Image 2023 08 10 at 16.09.09

Yussof Latiff dalam ucapannya berkata, kerjasama antara USM dan ADRC akan tertumpu kepada pengurusan tonggak sosial ESG masyarakat sebagai projek jangka panjang, dengan mendorong organisasi-organisasi untuk menyumbang atau menaja projek berkaitan ESG (sosial) dan mengiktiraf organisasi-organisasi yang telah menyumbang terhadap projek kelestarian untuk memanfaatkan masyarakat umum.

“Kami berharap sinergi yang terhasil melalui kerjasama unik antara USM dan ADRC akan memanfaatkan masyarakat secara keseluruhan dan mewujudkan sebuah masyarakat yang terurus, serta berupaya menjaga kelestarian alam sekitar dan sosial untuk jangka masa berterusan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, daripada matlamat perjanjian kerjasama tersebut, antara impaknya yang dapat dilihat adalah:

i. menggalakkan industri untuk menyokong agenda SDG dan dasar domestik melalui penglibatan industri dalam pematuhan standard ESG;
ii. mengukuhkan jaringan antara industri dan USM melalui pengajaran, penyelidikan, IP/Inovasi, penerbitan, perundingan dan latihan;
iii. membangunkan kerangka kerja ESG untuk pelbagai sektor perindustrian.

“Bagi pihak USM, kami amat menghargai kerjasama ini dan akan memastikan segala perancangan yang telah diatur akan dilaksanakan dengan sebaiknya dan seterusnya dapat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Semoga usaha murni ini akan membawa kebaikan kepada agenda kelestarian negara, serantau dan global,” katanya.

Perjanjian kerjasama selama dua tahun ini mempunyai matlamat untuk:

i. membangunkan standard Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (Environment, Social, Governance/ESG) yang merangkumi keseluruhan sektor industri seperti Pembinaan, Logistik, Pembuatan dan Pendidikan;
ii. menyelaraskan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan dasar domestik bagi membantu industri dalam pematuhan standard ESG;
iii. memberi pengiktirafan kepada organisasi yang menyumbang dan mematuhi standard ESG;
iv. menjadi pihak berkuasa dalam pematuhan ESG; dan
v. mempromosikan kebajikan sosial dan alam sekitar dan menyumbang kepada tujuan yang berfaedah dari segi sosial.

Turut diselitkan dalam majlis adalah penyampaian sijil pelantikan Panel Pakar Industri Projek ESG dan jawatankuasa kepada individu-individu yang terlibat dalam MoA tersebut.

WhatsApp Image 2023 08 10 at 16.09.12 2

Hadir sama pada majlis adalah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi USM, Profesor Dr. Azlan Amran; pegawai-pegawai utama USM dan ADRC serta rakan-rakan strategik ADRC.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 657

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024