DISIPLIN DIRI, BERPEGANG NILAI HIDUP BERTANGGUNGJAWAB KUNCI KEJAYAAN UNIVERSITI
PULAU PINANG, 15 Mei 2015 - Untuk masa hadapan universiti yang cemerlang, setiap warga Universiti Sains Malaysia (USM) perlu mempunyai disiplin diri yang utuh dengan nilai-nilai hidup beramanah serta bertanggungjawab tanpa perlu dipantau oleh ketua jabatan atau pun pihak-pihak tertentu ketika bertugas sebagai kunci kejayaan pada masa hadapan.
Berucap dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2014 petang ini, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, sikap sambil lewa dalam kalangan staf hanya akan menjejaskan imej dan usaha universiti memacu kecemerlangan.
"Di samping itu kecekapan staf juga perlu dipertingkatkan seiring dengan pembangunan negara yang menuju taraf sebuah negara maju," kata Omar.
Jelas Naib Canselor, perkara ini adalah antara isu-isu yang dihadapi oleh banyak organisasi yang memerlukan tindakan segera untuk mengatasinya sama ada dengan mendidik semula, menstruktur semula kerja atau lakukan apa sahaja yang perlu untuk memastikan istilah 'kayu mati' tidak wujud dalam organisasi.
"Mereka yang berada dalam zon selesa juga perlulah segera dibangunkan dari mimpinya supaya dapat menunaikan amanah dan tanggungjawab dengan lebih berdaya saing pada masa hadapan," tambah Omar.
Seramai 796 orang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun lalu yang terdiri daripada 414 orang (52.01%) daripada staf Kumpulan Perkhidmatan I, 149 orang (18.72 %) daripada staf Kumpulan Sokongan II, 120 orang (15.08%) daripada staf Kumpulan Akademik dan 96 orang (12.06%) adalah penerima daripada staf Kumpulan Pengurusan dan Profesional. Manakala penerima daripada staf Kumpulan Tertinggi Khas seramai 16 orang (2.01%) dan seorang (0.13%) adalah dari Kumpulan Tertinggi Utama.
"Mesyuarat Panel Pembangunan Sumber Manusia peringkat Universiti mendapati ramai calon yang layak dan telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang dengan mencatatkan seramai 77.20% staf memperolehi markah purata melebihi 85%," kata Naib Canselor.
Tambah Naib Canselor lagi, antara cabaran utama pada masa kini dan masa hadapan adalah kesediaan warga USM untuk bekerja keras dan pantas serta bertindak bijak, kreatif dan inovatif kerana sesuatu institusi itu akan menjadi lebih kuat sekiranya semua peringkat stafnya memainkan peranan masing-masing secara langsung serta mampu melahirkan warga kerja yang mampu membanggakan organisasi," kata Omar.
Naib Canselor menyeru seluruh warga USM untuk memperkasa dan mengekalkan kecemerlangan yang dicapai sebagai pendorong untuk kejayaan lain yang lebih besar pada masa hadapan.
Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato' Dr. See Ching Mey dan Pendaftar Siti Zubaidah A. Hamid. - Teks: Syuhada Abdul Aziz/Suntingan: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1022